Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia

Institusi Latihan Kemahiran Belia & Sukan

 
Rabu, 21 November 2018 09:33

KOMPONEN PENJELAJAHAN LASAK SIRI 2/2018 ARP IKBN KINARUT

Written by

 

 

KOMPONEN PENJELAJAHAN LASAK SIRI 2/2018 ARP IKBN KINARUT

 

KINARUT; – Laungan kata-kata "Biar Haus! Panas Mentari Tetapku Redah" membakar semangat para pelajar IKBN Kinarut sempena Program Penjelajahan Lasak Tahap Perak dan Gangsa Siri 2/2018 bertempat di kawasan sekitar Kinarut pada 16-18 November 2018.

 

Program yang berkonsepkan rekreasi fizikal ini merupakan kali yang keempat diadakan di IKBN Kinarut selepas sesi pertama pada tahun 2017 telah memberi impak perubahan yang lebih positif kepada para peserta Perak dan Gangsa ARP IKBN Kinarut.

 

Aktiviti penjelajahan lasak ini merupakan salah satu komponen Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPMM) IKBN Kinarut bagi kategori Perak dan Gangsa bertujuan untuk membentuk semangat berpasukan dan keyakinan diri peserta melalui penjelajahan disamping mengenali diri ketika di luar zon keselesaan.

 

Perjalanan mereka bermula daripada IKBN Kinarut menuju ke Pantai Beringgis dengan jarak sejauh 14KM perjalanan pantai sebelum menuju ke Nuluhon Outbound School Kinarut dan menggunakan laluan hutan (trail) menembusi perkampungan Kampung Gusi dan seterusnya menggunakan laluan jalan raya menuju ke IKBN Kinarut dan pada keesokan harinya menuju ke Taman Limauan menggunakan jalan hutan dan kampung.

 

Pelbagai halangan yang ditempuhi oleh peserta sepanjang program ini berlangsung seperti berjalan kaki sejauh 48KM dalam keadaan cuaca yang sangat panas disamping terpaksa menempuhi laluan yang berbukit,curam dan juga licin.

 

Terdapat peserta yang mengalami kekejangan otot semasa mengikuti program ini namun berjaya meneruskan perjalanan apabila dibantu oleh rakan-rakan peserta yang lain.

 

Selain daripada aktiviti menjelajah pelbagai aktiviti dapat dimanfaatkan oleh semua peserta semasa program tersebut termasuk slot Kraf Perkhemahan, Taklimat Pertolongan Cemas, Latihan dalam Kumpulan(LDK), aktiviti membersihkan sampah di pantai Beringgis serta sesi mengumpul dan mengenalpasti 20 jenis tumbuhan sepanjang perjalanan mereka.

 

Turut hadir dalam penutupan program tersebut iaitu Encik Himran Bin Entoh, Timbalan Pengarah IKBN Kinarut. Semasa penutupan program berkenaan beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang menamatkan penjelajahan tersebut dan memberikan kata-kata semangat kepada para peserta agar terus memberikan komitmen kepada program ARPRM IKBN Kinarut sehingga berjaya ditauliahkan pingat Emas.