Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia

Institusi Latihan Kemahiran Belia & Sukan

 
Sabtu, 24 November 2018 12:56

PENERIMA PINGAT EMAS ANUGERAH REMAJA PERDANA 2018

Written by
Rate this item
(0 votes)

CYBERJAYA, 24 NOVEMBER 2018 - Jerih perih selama 3 tahun telah berjaya membuahkan hasil bagi Hafizul Fadzli Ab Rahman apabila berjaya ditauliahkan sebagai penerima pingat emas bagi Anugerah Remaja Perdana 2018. Pelajar ini merupakan satu-satunya pelajar ILKBS pertama yang dianugerahkan tahap emas iaitu dari IKTBN Sepang.

Beliau menerima sijil pentauliahan dari Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Steven Sim Chee Keong di dalam Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda baru-baru ini di Cyberjaya.

Menurut Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan, Hairul Riduan Abdullah, IKTBN Sepang telah menubuhkan badan operasi ARPRM sebagai satu inisiatif untuk melahirkan belia kemahiran yang berketrampilan sebagai input kepada industri. Antara komponen yang dinilai di dalam anugerah ini adalah khidmat masyarakat dan sukarelawan, kemahiran, rekreasi fizikal, penjelajahan lasak dan projek penempatan.

Ketua Cawangan Pengurusan Pelajar, Siti Hajar berkata, melalui program ini, belia akan dipandu untuk bergerak dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi iaitu Gangsa, Perak dan Emas. Setiap peserta yang berdaftar akan dibimbing oleh mentor yang terlatih. Melalui program ini, peserta akan diatur dengan pelbagai program yang dapat menggilap mereka menjadi belia yang berketrampilan dan versatil.

Pelajar semester akhir dari Jabatan Teknologi Mekanikal Pemesinan ini berkata, walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan yang berat di samping menyiapkan projek tahun akhir, ia tidak menghalang beliau untuk terlibat secara aktif di dalam program belia. Beliau yang berasal dari Lumut, Perak ini bergiat aktif di dalam ragbi dan pelbagai kejohanan sukan.

Majlis pentauliahan
Anak kepada pasangan pesara tentera laut dan tukang jahit ini berkata, peluang yang dibuka oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda ini telah mendorong beliau untuk menjadi belia yang lebih pro aktif dan memberi nilai tambah sebelum keluar ke pasaran kerja. Melalui platform ini, beliau telah berpeluang terlibat dengan NGO, persatuan belia dan pelbagai syarikat swasta untuk pelbagai aktiviti dan program.

“Semua belia seharusnya merebut peluang yang ada ini sebagai satu kredit yang tinggi untuk bersaing. Kerja-kerja kemasyarakatan dan sukarelawan semakin dipandang sepi oleh generasi belia yang sekarang ini sarat dengan aplikasi media sosial dan gajet. Jika budaya ini tidak dibetulkan, kelak negara akan ketandusan pemimpin yang mempunyai jati diri yang tinggi, dinamik, berkarisma dan berdaya saing. Saya akui bukan mudah untuk sampai ke tahap ini, dengan pelbagai onak dan cabaran yang perlu ditempuh, namun tidak mustahil untuk kita lakukannya.” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur dan terharu atas penerimaan anugerah ini. Bimbingan tanpa henti dari mentor beliau iaitu Hasnor Nashima Hassan untuk menjadikan pemegang anugerah ini memiliki kredibiliti yang tinggi. Beliau juga merakamkan jutaan penghargaan, terhadap semua pendidik dan pembimbing yang sentiasa memberi sokongan moral sepanjang beliau menjalani program ini.

 

Read 1603 times Last modified on Jumaat, 30 November 2018 13:12
 
Find us on Facebook
Follow Us