Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia

Institusi Latihan Kemahiran Belia & Sukan

 

Majlis Penghargaan Pencapaian ILKBS 2018

PUTRAJAYA, 29 NOVEMBER 2018 – Majlis Penghargaan Pencapaian ILKBS 2018 adalah merupakan satu tanda penghargaan daripada Kementerian Belia dan Sukan kepada pencapaian ILKBS dalam beberapa program utama seperti Anugerah ILKBS Terbaik (AIT) 2018, ASEAN Skills Competition (ASC) 2018, Worldskills Malaysia Belia (WSMB) 2018, World Invention Innovation Contest (WIC) 2018 dan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) 2018.

Selain itu, penganjuran majlis adalah bertujuan bagi menghargai para media dalam mengarusperdanakan TVET di ILKBS selaras dengan tonggak keempat Rancangan Malaysia Kesebelas dalam memperkasa modal insan melalui Technical and Vocational Education and Training (TVET).

Anugerah ILKBS Terbaik merupakan pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia kepada ILKBS yang mencapai tahap pengurusan kualiti yang cemerlang. AIT 2018 telah membuka jalan peningkatan kualiti perkhidmatan dan penyampaian latihan. Tahun 2018 menyaksikan 13 buah ILKBS telah berjaya memperoleh pencapaian cemerlang (5 Bintang) dengan purata markah 90.71 berbanding pencapaian tahun lalu iaitu 85.3% dengan hanya 3 buah ILKBS memperoleh penarafan 5 bintang.

KBS melalui ILKBS telah mengambil langkah ke hadapan dengan mengadakan kerjasama bersama pihak agensi dan juga industri dalam memastikan bidang-bidang yang ditawarkan oleh ILKBS sentiasa releven dan memenuhi keperluan industri. Sehingga kini, sebanyak 41 MoU peringkat Nasional dan 242 MoU peringkat ILKBS telah dimetrai dan dilaksanakan. Kerjasama strategik memberi impak positif kepada kebolehpasaran pelajar ILKBS iaitu 93%.

ILKBS juga merupakan institusi yang menggalakkan penyertaan pelajar dan pengajar bagi menyertai pertandingan-pertandingan kemahiran di dalam dan luar negara. Penyertaan dalam pertandingan kemahiran seperti WSMB, ASC dan WIC dapat meningkatkan kualiti latihan dan kompetensi pelajar dan pengajar.

Pada 30 Ogos hingga 4 September 2018 yang lalu, pasukan ILKBS telah menyertai pertandingan kemahiran ASEAN Skills Competition (ASC) yang telah dilaksanakan di Bangkok, Thailand. Ia merupakan aktiviti pertandingan kemahiran antarabangsa yang melibatkan penyertaan dari 10 negara ASEAN. Dalam pertandingan kali ini, pasukan ILKBS telah disertai oleh pelajar dan jurulatih untuk bidang Restaurant Service (IKTBN Alor Gajah), Electrical Installation (IKTBN Bukit Mertajam) dan Car Painting (IKTBN Dusun Tua dan IKTBN Chembong). Alhamdulillah dalam pertandingan ini, 3 daripada 4 peserta dari ILKBS telah memenangi Medallion for Excellence (MFE) Award. Mereka ialah Muhammad Shahrul Hisham bin Ahmad dari IKTBN Alor Gajah, Mohammad Ridzuan bin Wahid IKTBN Dusun Tua dan Wan Mohd Hanif bin Wan Mohd Najib dari IKTBN Bukit Mertajam.

ILKBS juga telah mencatat pencapaian yang membanggakan dengan penyertaan projek “Plastic Waste to Wealth” oleh IKTBN Sepang yang diketuai oleh Encik Thinakaran A/L Narayanan yang telah berjaya menerima anugerah GOLD dan SPECIAL AWARD di World Invention Innovation Contest (WIC) 2018 pada 1 Jun 2018 hingga 4 Jun 2018 di Convention Center Chung Mu Art Hall, Seoul, Korea Selatan yang dianjurkan oleh Korea Invention News (KINEWS) bersama Korea Invention Academy (KIA). WIC adalah merupakan acara bertaraf antarabangsa. Ia mengumpulkan idea terbaik daripada perekacipta korporat dan kreativiti pelajar dari pelbagai institusi pendidikan, sektor korporat dan syarikat bagi mengetengahkan rekaan kreatif pada acara tahunan ini.

ILKBS bukan sahaja menitikberatkan aspek teknikal dan kemahiran malah keunikan ILKBS terletak pada komponen Bina Insan dan Jati dirinya. Ini adalah perbezaan utama kandungan latihan TVET KBS berbanding di agensi lain. Salah satu aktiviti kokurikulum yang benar-benar berkesan ialah Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) yang diinspirasikan daripada program The Duke of Edinburgh's International Award,London. 
Pelajar bidang Teknologi Mekanikal Permesinan Hafizul Fadzli bin Ab Rahman daripada IKTBN Sepang merupakan pelajar pertama yang ditauliahkan Anugerah Tahap Emas yang bernaung di bawah Badan Operasi ILKBS. Beliau telah memulakan anugerah pada tahun 2016 dan berjaya melengkapkan kesemua komponen pada Mac 2017 seterusnya ditauliahkan Tahap Emas pada November 2018.

 

Read 84 times
 
Find us on Facebook
Follow Us