Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia

Institusi Latihan Kemahiran Belia & Sukan

 
Isnin, 18 March 2019 15:00

PELAJAR IKTBN BACHOK BERSAMA 1000 PELAJAR IPT SERTAI PROGRAM SATU JAM BERSAMA Al-QURAN

Written by
Rate this item
(0 votes)

QURANHOURS

BACHOK 17 Mac 2019 - 48 orang pelajar IKTBN Bachok bersama dengan 1000 penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negeri Kelantan bersama-sama membaca Al-Quran secara serentak selama satu jam melalui program Siswa #Quran Hour, yang berlangsung di Masjid UMK Bachok, Kelantan, hari ini.

Program yang diaktifkan oleh Pusat Islam, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK), itu bermula pada jam 8 pagi sehingga 2 petang.

Antara pelajar IPT awam lain yang terdiri daripada pelajar UMK, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM).

Program Siswa Quran Hour turut menampilkan Johan bagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2018, Abdulah Fahmi Che Nor, yang memperdengarkan bacaan surah al – Mukminun ayat 1 hingga 16.

Pada program itu, setiap peserta diberikan beberapa muka surat dan mereka mengaji serentak menghabiskan 114 surah selama satu jam.

Menurut Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Noor Azizi Ismail, program Siswa Quran Hour ini amat bertepatan bagi memperkasakan lagi pembudayaan dan penghayatan al-Quran dalam kehidupan kita.

Beliau berkata, kerjasama antara Pusat Islam UMK dan PRNNK amat tepat pada masanya untuk kita sama-sama memperkasakan ruh al-Quran kepada warga universiti khususnya, dan juga kepada masyarakat umumnya.

“Menerusi program ini, dapat mempertingkatkan nilai dan kualiti insan yang bukan sahaja melalui pembacaan al-Quran tetapi juga mampu menghayati dan menterjemahkan dalam kehidupan seharian.

“Al-Quran merupakan satu-satunya mukjizat daripada Allah SWT yang masih wujud dan dapat dimanfaatkan oleh kita sebagai hambaNya dan wahyu pertama yang diturunkan iaitu ayat 1 hingga 5 surah al-Alaq dan seterusnya, menjadi asas perkembangan dan kemajuan menakjubkan zaman kegemilangan Tamadun Islam suatu ketika dahulu khususnya pada abad ke 9 sehingga abad ke 15,” katanya pada majlis perasmian Siswa Quran Hour, di Masjid UMK Bachok.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Zaliman Sauli, Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Azhar Muhammad dan Pengerusi PRNNK, Dato’ Adnan Hashim.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Azhar berkata, program hari ini berjaya menghimpunkan para pelajar IPT yang merupakan generasi muda yang menjadi aset penting kepada masa depan negara.

Saya percaya kita mampu menghasilkan pelajar atau mahasiswa yang seimbang dan berjaya dalam segenap aspek jika kita meletakkan al-Quran sebagai teras dalam kehidupan.

“Kejayaan graduan bukan sahaja diukur dari sudut kelulusan akademik semata-mata, tetapi juga kualiti kemanusiaan atau nilai keinsanan yang menjadi perhatian,” katanya.

 

Disediakan oleh : Nadia Bt Mat Isa

Disunting oleh : Mohd Rizal Bin Mat Zin

Read 2057 times Last modified on Selasa, 19 March 2019 08:47
 
Find us on Facebook
Follow Us