Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia

Institusi Latihan Kemahiran Belia & Sukan

 

Career Fest ILKBS Zon Utara dan Pertandingan Inovasi iDEA'19 ILKBS 2019

Seri Iskandar, 29 September 2019 - YB Howard Lee Chuan How, Exco Belia dan Sukan Negeri Perak, mewakili Menteri Besar Perak telah merasmikan Majlis Penutup Program Career Fest ILKBS Zon Utara dan Pertandingan Rekacipta dan Inovasi ILKBS 2019 ataupun Innovation Development through Educational Activities - iDEA’2019 di Institusi Latihan Kemahiran Negara (IKBN) Seri Iskandar, Perak. ILKBS Zon Utara yang turut terlibat adalah IKTBN Bukit Mertajam, IKBN Jitra, IKBN Naka dan IKBN Kuala Perlis.

Program ini merupakan acara tahunan yang dilaksanakan di setiap Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) mengikut enam (6) buah zon iaitu Zon Selatan, Timur, Sabah, Sarawak, Tengah dan Utara. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar sedia ada di institut terutamanya kepada graduan semester akhir ILKBS melalui penyediaan peluang pekerjaan yang relevan dengan bidang kemahiran yang dipelajari bersama syarikat-syarikat yang telah menjalinkan kerjasama (MoU) dengan ILKBS. Sebanyak lima (5) MoU Peringkat Emas baru dimeterai bersama ILKBS Zon Utara melibatkan penajaan dalam bentuk peralatan latihan dan elaun kewangan kepada ILKBS.

Antara tarikan utama semasa pelaksanaan program ini ialah Mini Dialog Industri Peringkat ILKBS Zon Utara dan Pertandingan iDEA’2019. Sebanyak 17 buah industri yang telah mempunyai jalinan kerjasama strategik melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama ILKBS Zon Utara telah menghadiri Mini Dialog Industri ini bagi membincangkan pelbagai input progresif berkaitan pelaksanaan bentuk-bentuk kerjasama yang telah dipersetujui bersama.

Pertandingan iDEA’2019 yang bertemakan “Berdaya Komersil, Persekitaran Digital, Mesra Pengguna” dibuka penyertaan kepada pelajar ILKBS, pelajar sekolah, Institusi Latihan Kemahiran Awam/ Swasta (ILKA/S) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam/ Swasta seluruh Malaysia. Sebanyak 100 buah projek inovasi telah disahkan pendaftarannya yang melibatkan penyertaan daripada 20 buah ILKBS dan 30 buah ILKA/S serta IPTA/S lain mengikut enam (6) kategori yang dipertandingkan dan telah berlangsung selama tiga (3) hari ini iaitu pada 27 hingga 29 September 2019.

Terdapat dua (2) kategori utama yang dipertandingkan dalam iDEA'19 iaitu Kategori iDEA'19 ILKBS dan iDEA'19 Terbuka. Setiap kategori terdiri daripada enam (6) bidang iaitu Bidang A: Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Bidang B: Teknologi Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Telekomunikasi, Bidang C: Teknologi Kejuruteraan Awam, Alam Sekitar & Tenaga Boleh Diperbaharui, Bidang D: Teknologi Kejuruteraan Komputer, Bidang E: Teknologi Makanan dan Bidang F: Teknologi Rekaan Fabrik.

Universiti Teknikal Melaka (UTEM), dengan projek inovasi “A Novel Z-Blade Turbine For Low Flow Pico” telah memenangi Johan Keseluruhan iDEA'19. Johan keseluruhan membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM3,000.00 beserta piala dan sijil penghargaan. Manakala projek inovasi “Intelligent Window” dari Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh telah mendapat Johan iDEA'19 Kategori ILKBS. Majlis penyampaian hadiah tersebut telah disampaikan oleh YB Howard Lee Chuan How, Exco Belia, Sukan & Pembangunan Modal Insan Negeri Perak.

 

 

Read 439 times
 
Find us on Facebook
Follow Us