Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia

Institusi Latihan Kemahiran Belia & Sukan

 
Isnin, 10 May 2021 18:04

MENYUMBANG KEPAKARAN MELALUI BIDANG KEMAHIRAN

Written by
Rate this item
(0 votes)

3 Mei 2021. Kuala Kubu Bharu, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah menyumbang sepasang baju raya kepada 30 orang Anak Yatim dan Anak Asnaf Baitul Rahmaniah (BaiRah) di Rasa, Selangor.

Program ini merupakan inisiatif Puan Normahsyuri binti Md Shariff, Pengarah IKBN Peretak dengan kerjasama pengajar dan pelajar Semester 1 Jurusan Jahitan Pakaian Lelaki dan Jahitan Pakaian Wanita bagi membantu penghuni asrama anak yatim dan anak asnaf ini menyambut hari raya adilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Penyerahan baju raya dibuat kepada Encik Abdul Rahman bin Yahya, Pengurus Asrama Baitul Rahmah dengan semua menghuni turut serta di dalam program tersebut.

Menurut Pn. Normahsyuri binti Md Sharif, program ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan keyakinan pelajar dalam pengurusan kehendak pelanggan. Ianya melibatkan Tugasan Amali CoCU Pakaian Tradisional (Kaum Melayu). Langkah kerja dalam penghasilan pakaian ini bermula dengan mengambil ukuran badan, melakar pola, menggunting fabrik, menjahit dan seterusnya pelaksanaan acu padan bagi memastikan pakaian yang dihasilkan boleh dipakai dan cantik mengikut ukuran pelanggan. Terpancar wajah kegembiraan anak-anak yatim kerana dapat menyarungkan Baju Kurung dan Baju Melayu Tradisonal pada 1 Syawal nanti.

Selain itu IKBN Peretak juga turut menganjurkan program Infaq Ramadhan bagi menyalurkan sumbangan barangan keperluan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi kepada golongan sasar yang telah dikenal pasti melalui Lembaga Zakat Selangor.

Objektif utama program ini adalah untuk menyantuni golongan yang memerlukan terdiri daripada asnaf fakir dan miskin di sekitar Kuala Kubu Bharu .

Melalui inisiatif ini, sebanyak 41 bakul yang mengandungi barang-barang keperluan dapur seperti minyak masak, beras, tepung gandum, ketupat mini, kicap, gula, garam, bihun, air kordial dan susu dapat dikumpul hasil sumbangan para pegawai dan pelajar IKBN Peretak, Persatuan Alumni IKBN Peretak serta orang awam.

Ucapan penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada seluruh warga IKBN Peretak dan penyumbang barangan infaq yang sudi berkongsi rezeki memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk. Tidak lupa juga sumbangan ikhlas berbentuk wang tunai dan barangan yang telah diterima daripada Persatuan Alumni IKBN Peretak. Semoga Program Infaq seperti ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan.

Disediakan oleh : En Shahdan bin Zainal, Ketua Cawangan Pengurusan Pelajar, IKBN Peretak.

Read 2793 times