Semua peserta memulakan pendakian bermula pada jam 8.45 pagi dan berakhir pada jam 4.00 petang. Perjalanan mendaki ke puncak Lata Medang mengambil masa selama 3 jam sejauh 7km. Setibanya semua peserta di puncak air terjun, program asas rekreasi luar telah sampaikan oleh Encik Shahdan bin Zainal, Ketua Cawangan Pengurusan Pelajar (KCPP). Pelajar diberi pendedahan asas mengenai aktiviti rekreasi seperti lokasi tapak perkhemahan yang sesuai di sekitar sungai dan cara membuat kain anduh menggunakan kain pelikat atau kain batik. Para pelajar turut melakukan amali tersebut sebagai latihan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
Program penjelajahan pada kali ini memberi sedikit kelainan kerana semua peserta telah meredah hutan dalam keadaan hujan, melalui laluan denai, meredah lopak, anak sungai kecil, tanah runtuh dan jalan yang berbukit serta licin kesan dari hujan yang turun pada waktu petang. Perjalanan yang mencabar ini dengan jarak sejauh 14km pergi dan balik, dapat diharungi oleh para pelajar dan pegawai dengan dibantu oleh Jurupandu yang bepengalaman iaitu Encik Zuraimi lebih mesra dipanggil Abang Oden serta pembantu beliau iaitu Encik Mamat. Walaupun menghadapi kesukaran sewaktu turun akibat jalan yang licin, semua peserta berjaya mengakhiri ekspidisi mendaki Lata Medang dengan selamat.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor di atas kebenaran untuk mengeluarkan permit memasuki kawasan hutan simpan kekal dan sebagai pencinta alam sekitar turut bersama memelihara hutan kekal dan menjaga kebersihan hutan dan sungai dari sampah sarap. Diharapkan pelajar dapat membina ketahanan diri dan semangat kerjasama antara satu sama lain. Semoga dengan adanya program penjelajahan lasak ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang menyertainya dan memberi pengalaman baru yang menarik dan menyeronokan.
Disediakan oleh : Cik Nor Haizatul bt Sabidi, Unit Pengambilan dan Pendaftaran Pelajar
Disunting oleh : Puan Azini bt Ismail, Ketua Unit Kerjaya dan Kaunseling