Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia
Institusi Latihan Kemahiran Belia & Sukan
Naka 7 March 2021 - Proses Pendaftaran Pelajar Baharu ke IKBN Naka pada kali ini adalah berbeza di sebabkan oleh penularan Covid-19. Proses pendaftaran pelajar pada kali ini dilaksanakan secara 'Drive-Thru' dan 'Drop n Go' bagi mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan. Semua proses berjalan lancar dan memudahkan semua yang terlibat pada hari ini. Terima kasih kepada semua waris pelajar yang memberi kerjasama penuh serta mematuhi segala arahan yang telah ditetapkan oleh pihak ikbn untuk melancarkan proses pendaftaran pelajar baharu pada sesi kali ini.
Naka, 23 Febuari 2021 – IKBN Naka juga tidak ketinggalan dalam menjalankan Projek Kebuniti. Program ini merupakan salah satu usaha mendedahkan pelajar bagi menceburi bidang pertanian bandar ialah dengan mewujudkan projek kebuniti. Ianya adalah selaras dengan program Kebuniti anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang diumumkan di bawah Pelan Jana semula ekonomi (Penjana).
KEDAH, 6 Disember 2020 – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka telah melaksanakan aktiviti pembelajaran atas talian bagi pelajar sesi 2/2020 bermula pada 1 Oktober 2020 sehingga 3 Disember 2020. Penyelarasan Modul Online ini telah dibuat oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) berdasarkan kesesuaian semasa dan juga kandungan kursus yang telah ditawarkan kepada pelajar. Platform yang digunakan sepanjang modul ini berlangsung adalah Google Meet, Telegram, Whatsapp Group dan juga Facebook Page.
Sebagai permulaan modul, semua pelajar dikehendaki menyertai sesi Ice Breaking. Para pelajar yang berasal dari berbagai negeri, kaum dan peringkat umur dapat bersuaikenal sesama mereka melalui aplikasi Google Meet. Turut diselitkan Refreshing Games sebagai selingan slot. Tuan Pengarah IKBN Naka iaitu Encik Mohd Ridzuan Bin Wan Abdullah Zawawi juga telah menyampaikan amanat kepada para pelajar baharu.
Pelajar diperkenalkan dan diperjelaskan berkenaan semua jabatan & cawangan yang ada di institut ini. Mereka dapat mengetahui fungsi jabatan berkenaan dengan menyeluruh. Pelajar diberikan pendedahan dan penerangan berkenaan kursus yang ditawarkan kepada mereka secara menyeluruh oleh pengajar yang terlibat. Pengajar telah memberikan gambaran awal berkaitan apa yang akan mereka pelajari di institut ini. Pada minggu terakhir, semua pelajar perlu membentangkan hasil mini task yang telah diberikan berdasarkan kursus masing-masing. Salah satu contoh mini task ialah daripada kursus Pengeluaran Makanan iaitu cara- cara membuat Vietnam Roll secara individu oleh para pelajar menggunakan 'video creator' dan dimuatnaik ke laman Facebook Group.
Pihak institut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan aktiviti pembelajaran atas talian ini. Semoga segala input yang diberikan dapat memudahkan pelajar baharu untuk meneruskan pengajian mereka nanti.
Bahagian HEP dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan daerah Sik telah melaksanakan program impak ILKBS @Komuniti di Maahad Dini Sultan Abdul halim Sik. Tujuan program ini diadakan bertujuan sebagai salah satu khidmat masyarakat kepada komuniti setempat disamping mempromosi Program TVET yang dilaksanakan di IKBN Naka. Antara khidmat komuniti masyarakat yang dijalankan adalah mengecat pagar utama sekolah, pembaikan sistem perparitan dan kerja tambah baik surau. Program ini telah dirasmikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK) Ybhg Tuan Syeikh Zakaria Bin Othman. Majlis juga turut dihadiri oleh Tuan Pengarah IKBN Naka En Mohd Ridzuan bin Wan Abdullah Zawawi, Timb Pengarah Hal Ehwal Pelajar En Mohammad Hafifi bin Jamaludin dan Tuan Dr. Mohd Faisal Mustaffa, Ketua Pegawai Operasi, Lembaga Pengurusan Sekolah Zakat Kedah. Pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah juga turut berbesar hati untuk menjalankan kerjasama berterusan bersama IKBN Naka selaku pusat TVET yang bertauliah serta mengkaji peluang yang lebih baik dalam membantu asnaf di Negeri Kedah untuk menceburkan diri dalam bidang TVET.Segala Pematuhan SOP seperti pengambilan suhu dan rekod Mysejahtera turut dilaksanakan sebelum dan semasa program berlangsung. Semoga program ini dapat diteruskan di masa akan datang.
14 Oktober 2020 – IKBN Naka menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengeluar produk makanan, farmaseutikal dan kosmetik, Halagel (M) Sdn Bhd di Sungai Petani, Kedah bagi menjalankan program peningkatan kemahiran kakitangannya melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM). Hasil beberapa siri lawatan dan perbincangan serta sesi analisa jurang yang telah dilaksanakan, seramai 15 orang kakitangan syarikat Halagel (M) Sdn Bhd akan melaksanakan program PPT dalam bidang Pembuatan Makanan/Farmaseutikal/Herba dan 6 orang dalam bidang Penyaman Udara Komersial. Pihak IKBN Naka selaku Pusat Bertauliah PB-PPT akan membimbing kakitangan Halagel (M) Sdn Bhd bagi membangunkan portfolio sehingga ke penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia kepada semua peserta program.
|
IKBN Naka - Seramai 10 orang peserta telah mendaftar diri bagi mennyertai program Bootcamp Penyaman Udara Tahun 2020 IKBN Naka. Program Bootcamp Penyaman Udara ini adalah kerjasama antara IKBN Naka dengan syarikat Teras Megamaju Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan pemasangan dan penyelenggaraan penyaman udara. Tujuan pelaksanaan program ini adalah untuk menyediakan modal insan berkemahiran sama ada sebagai pekerja mahir atau separa mahir mengikut keperluan industri negara melalui kaedah pelaksanaan latihan yang lebih intensif yang dijalankan dalam tempoh yang lebih singkat iaitu 3 bulan dengan jaminan pekerjaan pada akhir program. Semasa sesi latihan dijalankan, peserta program akan mengikuti modul-modul latihan kemahiran khusus yang diperlukan oleh skop pekerjaan yang diperlukan oleh syarikat kerjasama. Antara kadungan latihan yang dijalankan adalah latihan pemasangan dan penyelenggaraan penyaman udara domestic dan komersial, kursus Certified Service Technician Programme, Niosh Tenaga Safety Passport, Kursus Kad Hijau CIDB yang merupakan elemen penting yang peserta perlu ada sebelum masuk ke alam pekerjaan. Program yang berlangsung selama 3 bulan ini dijangka akan tamat pada 3 November 2020.
|
Naka 7 Julai 2020 - Satu Bengkel Penggubalan dan Pengesahan Soalan Sesi 1-2020 bagi bidang Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara telah diadakan pada 29 Jun 2020 hingga 3 Julai 2020. Bengkel ini berlangsung di Perpustakaan IKBN Naka dan melibatkan semua pengajar dari Jabatan Teknologi Elektrik.Bengkel yang berlangsung selama 3 hari di IKBN Naka telah dihadiri oleh Panel Penasihat Industri Encik Mohammad Yasran Bin Radhi dan 10 orang peserta. Perasmian pentup bengkel dirasmikan oleh Tuan Pengarah Encik Mohd Ridzuan Bin Wan Abdullah Zawawi.
10 Mac 2020 - Bersempena dengan Minggu Keselamatan dan Kesihatan IKBN Naka Tahun 2020, pihak Bahagian Penguatkuasan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah(JHEAIK) telah mengadakan satu Program Ceramah Pelajar Bebas Jenayah Syariah Peringkat IKBN Naka. Program ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Tuan Syeikh Izzuddin bin Mohd Yusof Pen.Pengarah Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIK. Program ini turut dihadiri bersama oleh Tuan Pengarah dan Kakitangan IKBN Naka. Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Roslan bin Mat (Peg Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Bandar Baharu). Tujuan program ini diadakan untuk memberi penerangan kepada para pelajar mengenai masalah sosial dikalangan remaja yang melibatkan kesalahan Jenayah Syariah. Diharapkan program kolobrasi antara IKBN Naka dan JHEAIK ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
IKBN Naka - 4 Mac 2020, Pasukan khidmat komuniti IKBN Naka bersama Alumni IKBN Naka yang disertai oleh 5 orang tenaga pengajar Jabatan Teknologi Elektrik, En. Ariff Hakimi(penjaga jentera IKBN Naka) dan 5 orang pelajar kursus penyaman udara domestik telah melaksanakan khidmat masyarakat pendawaian semula sebahagian sistem pendawaian yang terjejas di rumah pelajar saudara Muhammad Hafiizuddin Ismail(pelajar semester 4 Domestik) yang telah terbakar baru-baru ini.
Dengan program ini , mudah mudahan sumbangan kecil ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh pihak keluarga pelajar berkenaan dalam menghadapi musibah ini.Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program kemasyarakatan ini sebagai bukti keperihatinan pihak IKBN Naka kepada warga institut dan masyarakat setempat.
19 Februari 2020, lawatan industri bidang penyejukbekuan telah dilaksanakan di Zon Utara Industri Sdn Bhd,Bandar Darulaman yang mengeluarkan produk seperti peti sejuk domestik, refrigerated chiller,ice cream display unit dan chest freezer berjenama Snow.Lawatan melibatkan 18 orang pelajar bidang penyejukbekuan dan 12 tenaga pengajar bertujuan mendedahkan pelajar dan pengajar berkenaan pengeluaran produk penyejukbekuan dan maklumat teknologi semasa berkaitan refrigeran.Perbincangan bersama syarikat dan Cawangan Hubungan Industri turut dibuat berkaitan kerjasama yang boleh dilaksanakan meliputi latihan sangkutan industri, latihan industri pelajar, sumbangan peralatan dan perkongsian maklumat.
Naka, 10 Febuari 2020 - Program Penjelajahan Lasak ARPRM IKBN Naka Siri 1/2020 telah diadakan pada 6-8 Feb 2020 di Ulu Legong, Baling, Kedah. Program selama 3 hari 2 malam ini telah disertai oleh 13 orang Pegawai, 3 orang pelajar praktikal dan 82 orang pelajar IKBN Naka yang sedang melengkapkan Komponen Penjelajahan Lasak bagi Anugerah Emas, Perak dan Gangsa.
Seramai 10 orang pelajar yang sedang melengkapkan Anugerah Emas telah diberi kepercayaan untuk mengetuai 8 kumpulan pelajar tersebut. Pada masa yang sama juga seramai 3 pelajar yang sedang menjalani latihan praktikal di IKBN Naka turut menyertai program ini bagi Anugerah Gangsa. Pada keseluruhannya kesemua peserta program ini telah melalui beberapa aktiviti seperti Pengenalan Peta dan Orientering, Jungle Tarcking, Asas Ikatan Tali, Komunikasi dan Survival disamping aktiviti Solat Berjemaah dan Tazkirah.
Diakhir program Pengarah IKBN Naka, En. Mohd Ridzuan bin Wan Abdullah Zawawi telah menyempurnakan Majlis Penutup program ini. Para pelajar IKBN Naka juga telah dapat menimba pengalaman yang sangat bermakna bagi mereka.
Naka, 29 Januari 2020 - Program Khidmat bakti belia berkemahiran terhadap masyarakat setempat telah diadakan di SK Bukit Pinang,Kepala Batas,Kedah pada 28 Januari 2020 dan diteruskan di SK Terap, Serdang pada 29 Januari 2020. Khidmat pemeriksaan dan pembaikan awal telah dilaksanakan bersama-sama dengan pihak UUM serta warga pendidik SK Terap. Ucapan jutaan terima kasih diucapkan kepada pasukan teknikal JTE IKBN Naka yang sanggup berpanas hingga ke petang dalam menyelesaikan tugasan yang diharapkan. Mudah-mudahan sedikit khidmat bakti ini dapat merubah suasana pembelajaran murid-murid serta persekitaran kerja warga sekolah kepada yang lebih kondusif dan selesa. Program ini berakhir kira-kira pukul 5 petang dengan sedikit jamuan ringan.
Naka, 28 Januari 2020 - Sesi penilaian akhir program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan verifikasi pegawai pengesah luaran telah dijalankan dengan jayannya. Penilaian ini melibatkan 7 orang perintis dari syarikat Best Cool Air Condition Engineering & Trading Sdn Bhd dan Semarak Restu Enterprise. Ucapan ribuan terima kasih kepada coach industri En Azhar dari Best Cool dan PPL En Shamsul Ishak diucapkan. Dengan penilaian ini mudah-mudahan semua perintis akan menjadi sebahagian daripada tenaga mahir negara dalam bidang penyamanan udara.Terima kasih kepada kedua-dua syarikat yang memberikan komitmen terbaik bagi menjayakan program ini demi masa depan belia negara. Program ini berakhir kira-kira pukul 5 petang dengan sedikit jamuan ringan.
GURUN, 30 DISEMBER 2019, – Seramai 20 orang staf Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka telah berjaya menawan puncak Gunung Jerai, Kedah anjuran Kelab SUkan dan Rekrasi IKBN Naka baru-baru ini.Gunung Jerai setinggi 1,217 meter dari paras laut ini merupakan antara kawasan tanah tinggi yang masih lagi terpelihara keindahan dan keasliannya. Kawasan pergunungan yang terletak di dalam daerah Kuala Muda ini adalah lambang kemegahan negeri Kedah Darul Aman.Para peserta berjaya menamatkan pendakian setelah hampir 5 jam mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan. Pendakian ini mampu membentuk keberanian, ketahanan mental dan fizikal, kemahiran berkomunikasi, selain semangat bekerjasama dalam kalangan peserta.
Pengarah program, Encik Mohammad Suhaimi bin Md Saad berkata, “program pendakian ini adalah merupakan julung kali diadakan dan ia bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama dan penyatuan antara warga IPPT selain merupakan satu aktiviti riadah yang dituntut dalam Islam. Ia juga bertujuan untuk menyemai serta menyemarakkan lagi semangat cintakan alam semulajadi ciptaan Allah S.W.T.”"Saya rasa sangat berbangga apabila semua peserta yang mengikuti program ini berjaya menamatkan aktiviti pendakian di puncak Gunung Jerai tanpa sebarang masalah walaupun semua peserta bukanlah merupakan pendaki profesional. Kejayaan ini membuka lembaran baru buat kami dan mungkin aktiviti riadah seperti ini akan diperbanyakkan,” tambahnya lagi. Selain itu, sepanjang pendakian peserta juga mengambil kesempatan yang ada untuk menerokai setiap khazanah yang tersembunyi di dalamnya di samping menikmati keindahan alam semulajadi yang sangat unik. Kejayaan para peserta diraikan dalam satu majlis minum petang di The Jerai Hill Resort.
© Hak Cipta Terpelihara 2018 Kementerian Belia Dan Sukan