Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia

Institusi Latihan Kemahiran Belia & Sukan

 

 

 

BACAAAN DOA TAHLIL MENGIRINGI PERHIMPUNAN MESRA IKBN KINARUT

 

 

KINARUT ;  Bacaan doa tahlil dan tazkirah ringkas tentang keberkatan bulan Syabaan dan kedatangan Ramadhan telah mengiringi perhimpunan mesra bulanan bilangan 5/2017 pagi ini di Dewan Limau-Limauan IKBN Kinarut.

 

Tazkirah dan doa tahlil telah diketuai oleh Encik Anzari Daud pengajar daripada Jabatan Elektrik IKBN Kinarut.

 

Seramai tiga orang penerima anugerah pekerja terbaik bulan April iaitu Encik Rozaidi bin Md Yusof daripada unit Hal Ehwal Pelajar, Cik Norhayati Akop penyelia asrama dan Puan Hafidza Akmal Jumat daripada unit Pengurusan Aset.

 

Perhimpunan kali ini telah dihoskan oleh unit Pengurusan dan kewangan IKBN Kinarut.

 

 

DIALOG TN50 IKBN KINARUT DALAM SUASANA MESRA

 

 

KINARUT, 17 Mei 2017 ; Program TN50 peringkat IKBN Kinarut telah berjaya dilaksanakan bertempat di Dewan Limau-Limauan IKBN Kinarut dalam suasana mesra dan santai hari ini.

 

Seramai 346 orang pelajar dan kakitangan IKBN Kinarut telah hadir dalam sesi dialog TN50 yang dimoderator oleh Hj Razali Mohamad Pengarah IKBN Kinarut dan Encik Nadzmi @ Nyugem Berinyau sebagai pengerusi majlis.

 

Selain daripada soaljawab dan pandangan daripada pelajar mengenai inspirasi anak-anak muda TVET, pelajar juga berpeluang untuk menulis aspirasi-aspirasi mereka untuk melihat aspirasi-aspirasi mereka melalui stiker ditempat papan kenyataan yang telah disediakan.

 

Program sesi dialog TN50 yang bermula pada jam 8.00 pagi telah berakhir pada jam 9.30 pagi.

 

 

JURUSAN PENDAWAIAN ELEKTRIK IKBN KINARUT

 “ TURUN PADANG “ DI MEMPAKUL

 

 

KUALA PENYU, BEAUFORT ; Seramai 45 orang pelajar-pelajar jurusan Pendawaian Elektrik IKBN Kinarut baru-baru ini telah Berjaya menabur bakti membaiki sistem pendawaian elektrik di enam buah rumah orang-orang kampung di daerah mempakul, Kuala Penyu, Beaufort, Sabah.

 

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Laut, Kampung Masjid,  Kampung Bakarang dan Kampung Telisai.

 

Menurut Encik Norazmi Ali, Ketua Jabatan Pendawaian Elektrik (PE) IKBN Kinarut, Program Jalinan Ukhwah Bakti Belia IKBN Kinarut merupakan satu program ‘ turun padang ‘ untuk pelajar-pelajar IKBN Kinarut berbakti kepada masyarakat diluar bandar melalui kemahiran yang dimiliki oleh mereka.

 

Program selama empat hari tersebut telah bermula pada 12 Mei dan berakhir pada 15 Mei 2017 dengan penglibatan daripada pemimpin UMNO Bahagian P177 Beaufort.

 

Menurut Encik Norazmi Ali lagi antara kerja-kerja pelatih ialah menukar sistem pendawaian elektrik yang lama kepada sistem pendawaian yang baru serta menukar beberapa peralatan elektrik yang dah rosak.

 

Majlis perasmian penutup telah dilakukan oleh yang berbahagia Datuk Isnin bin Hj Aliasneh Ketua UMNO Bahagian P177 Beaufort. Turut hadir ialah Hj Razali Mohamad Pengarah IKBN Kinarut dan Puan Fatimah Abdul Rahman Penolong Pengarah IKBN Kinarut. 

 

 

“PEMBELAJARAN BAHASA INGGERIS MELALUI BOTB 2017”

 

 

KINARUT ; Lagu dalam Bahasa Inggeris telah dijadikan sebagai lagu wajib dalam pertandingan Battle of The Band 2017, anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IKBN Kinarut baru-baru ini.

 

Peraturan format tersebut adalah sebagai sebahagian daripada usaha IKBN Kinarut untuk membiasakan pelajar-pelajar IKBN Kinarut dengan sebutan dan penggunaan bahasa Inggeris yang betul, kata Encik Hardianshah pegawai bahagian Hal Ehwal Pelajar.

 

Program ‘ BOTB 2017 ’ adalah kali ke-2 dianjurkan oleh MPP IKBN Kinarut sebagai sebahagian dari program untuk mencungkil bakat-bakat pelajar dalam bidang muzik dan lagu.

 

Pada saringan malam terakhir sebanyak 6 buah band telah mempersembahkan lagu dan muzik masing-masing.

 

Band R410 telah dinobatkan sebagai Johan pertandingan BOTB 2017 manakala Band Blue Lantern dan Jenglot Band tempat kedua dan ketiga.

 

Hadiah-hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Encik Hj Razali Mohamad, Pengarah IKBN Kinarut. Turut hadir ialah Encik Suhaidi Mustar, Timbalan Pengarah dan Puan Fatimah Abdul Rahman, Penolong Pengarah IKBN Kinarut.

 

 

PULAKOP JADI CONTOH KEPADA IKBN KINARUT KE ARAH PERSIJILAN EKSA

 

 

PAPAR,  9 MEI 2017 - Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut telah mengadakan satu lawatan penanda aras ke jabatan terdekat yang telah menerima persijilan EKSA iaitu Pusat Latihan Kecemerlangan Koperasi (PULAKOP). Rombongan lawatan IKBN diketuai oleh Encik Suhaidi Mustar, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan juga selaku Pengerusi Jawatankuasa EKSA IKBN Kinarut bersama wakil-wakil bagi setiap zon EKSA IKBN.

 

Rombongan IKBN tersebut disambut hangat oleh pihak pengurusan PULAKOP yang diketuai sendiri oleh Pengarah PULAKOP, Puan Sairah Basrin. Sesi lawatan dimulakan dahulu dengan taklimat pengenalan PULAKOP oleh Puan Sairah, soal jawab dan lawatan ke zon-zon EKSA di PULAKOP.

 

Pengalaman lawatan penanda aras EKSA yang pertama ini amat bernilai kepada pegawai-pegawai IKBN yang hadir di mana banyak ilmu dan input berkenaan pelaksanaan EKSA yang diperolehi hasil dari lawatan itu. Lawatan ini juga diharap dapat membuka minda pegawai yang hadir bagi mencetuskan idea dalam melaksanakan EKSA di zon masing-masing.

 

Lawatan selama lebih kurang dua jam setengah berakhir kira-kira jam 12.30 tengahari dan disudahi dengan majlis pertukaran cenderahati oleh kedua belah pihak.

 

 

‘JURUTERA TEMPUR’ PILIH BIDANG AIRCOND DI IKBN KINARUT

 

 

KINARUT ; Selepas menabur jasa selama 21 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jamludin bin Dari akhirnya telah memilih bidang kemahiran aircond sebagai bidang kerjaya untuk diterokai apabila bersara nanti.

 

“ Selepas berpencen nanti saya bercadang untuk membuka perniagaan aircond secara kecil-kecilan berdasarkan kemahiran yang saya miliki ”, kata Jamludin yang berasal dari Kota Belud, Sabah.

 

Jamludin (41 tahun) juga dikenali ‘Jurutera Tempur’ berkata bidang yang amat diperlukan oleh industri di Sabah pada masa kini.

 

Ditanya bagaimana beliau boleh terfikir untuk memasuki IKBN Kinarut sedangkan banyak Institusi lain yang ada menawarkan bidang yang sama, Jamludin berkata semuanya bermula dengan pencerahan yang positif dari rakan seperjuangannya yang pernah berlatih di IKBN Kinarut, Sabah.

 

“ Setelah berjaya dalam sesi ujian dan temuduga yang dilaksanakan oleh PERHEBAT, saya terus membuat permohonan ke IKBN Kinarut dalam bidang aircond bagi mencapai azam saya untuk mahir dalam bidang tersebut “, tambah Jamludin lagi.

 

Bidang aircond domestik di IKBN Kinarut memerlukan tempoh 15 bulan untuk mendapatkan  Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2. Kopral Jamludin dijangka menamatkan kursus insentif bidang aircond di IKBN Kinarut pada Jun 2017.

 

 

PELAJAR IKBN KINARUT SERTAI PROGRAM GREAT 2017

 

 

KOTA KINABALU; Seramai 100 orang pelatih IKBN Kinarut telah menyertai program GREAT 2017 anjuran Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MAGIC) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah bertempat di Grand Ballroom, The Grand Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu.

 

Majlis perasmian telah dilakukan oleh YAB Datuk Seri Panglima Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

 

Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada usahawan komuniti Sabah untuk memahami tentang panduan asas bagaimana mereka boleh menggunakan facebook secara bijak sebagai salah satu saluran pemasaran yang berkesan pada kos bajet minima untuk menjana pendapatan ‘ Digital Economy ‘.

 

IKBN Kinarut merupakan antara agensi yang telah dikenalpasti sebagai agensi yang memiliki senarai rujuk potensi usahawan komuniti Sabah dan terlibat dalam usaha membangun usahawan komuniti Sabah.

 

 

PENILAIAN ANUGERAH ILKBS IKBN KINARUT BERMULA

 

 

KINARUT ; 3 Mei 2017 – IKBN Kinarut telah dikunjungi oleh Pasukan Penilai Anugerah Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Terbaik 2016 yang diketuai oleh Encik Muhammad Ghazali bin Udin sebagai pengerusi bermula hari ini.

 

IKBN Kinarut merupakan IKBN yang terakhir dilawati oleh pasukan penilai yang telah dilantik oleh Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan.

 

Tujuan Anugerah ILKBS Terbaik adalah untuk menggalakkan persaingan yang sihat antara ILKBS disamping memberi pengiktirafan secara formal kepada ILKBS yang telah mencapai tahap pengurusan kualiti yang cemerlang.

 

Antara aspek pengurusan yang dinilai ialah pentadbiran, kewangan, operasi latihan, pengajaran dan pembelajaran, hal ehwal pelajar, kpi serta aktiviti kemasyarakatan, kesukarelaan dan aktiviti luar pekerjaan.

 

 

PELATIH IKBN KINARUT SERTAI PERTANDINGAN WORLD SKILL MALAYSIA BELIA 2017

 

 

SINTOK, KEDAH - IKBN Kinarut baru-baru ini telah menghantar wakil ke pertandingan pra kelayakan World Skill Malaysia Belia (WSMB) 2017 yang berlansung pada 24 hingga 27 april 2017 bertempat di Akedemi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara, Kedah.

 

Wakil dari IKBN Kinarut iaitu Encik Abdul Razali bin Saaibu adalah merupakan pelajar semester dua dalam bidang pendawaian elektrik PW2. Beliau telah menjalani latihan insentif selama 3 minggu dibawah perhatian jurulatih Encik M.M Yusdi bin Otoh.

 

Menurut Encik M.M Yusdi cabaran utama yang dihadapi oleh peserta adalah perlu menguasai dan mahir dalam melakukan pengaturcaran pada Sistem Programable Logic Controller (PLC) memandangkan soalan pertandingan yang diberikan akan menggunakan PLC jenama LOGO SIEMANS untuk kawalan semua litar pendawaian.

 

Turut mengiringi pelatih ke pertandingan tersebut adalah jurulatih Encik M.M Yusdi bin Otoh, Encik Asyrul bin Asri dan Encik Suhaimi bin Muhammad.

 

 

PELANCARAN EKSA SEMASA PERHIMPUNAN MESRA BULANAN BIL 4/2017

 


KINARUT, 17 APRIL 2017 – KBN kinarut baru-baru ini telah mengadakan majlis pelancaran Program Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) serta menyampaikan watikah perlantikan kepada ketua-ketua zon EKSA IKBN Kinarut semasa Perhimpunan Mesra Bulanan Bersama Pengarah bagi Bilangan ke 4/2017 yang dihoskan oleh Jabatan Awam bertempat di Bilik Transformasi, IKBN Kinarut.

 

5 zon yang telah dikenalpasti adalah  Zon Mantanani diketuai oleh Encik Norazmi Ali, Zon Dinawan diketuai oleh Encik Kelaman Samad, Zon Mengalum diketuai oleh Encik Harun Jamaluddin, Zon Mamutik diketuai oleh Puan Fatimah Abdul Rahman dan Zon Manukan diketuai olehh Encik Saldi Maruji.

 

Dalam majlis berkaitan, penganugerahan Pekerja Terbaik bagi bulan Mac telah diberikan kepada Encik M.Azman@Manap M.Arsad dari Jabatan Pentadbiran, Encik Amtadin Jital dari Jabatan Elektrik dan Puan Halijah Omar daripada Jabatan Awam yang disampaikan oleh Tuan Haji Razali Bin Mohamad, Pengarah IKBN Kinarut.

 

Dalam pada itu juga, majlis sambutan hari lahir bagi bulan April juga telah disambut dengan meriah sekali dengan upacara memotong kek bagi pegawai-pegawai yang menyambut hari kelahiran pada bulan April 2017 diikuti dengan penyampaian beberapa cenderahati daripada Jabatan Awam.

 

Turut hadir dalam perhimpunan pagi tersebut adalah Encik Suhaidi Bin Mustar Timbalan Pengarah Latihan dan Puan Fatimah Binti Abdul Rahman Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar serta Encik Mohammad Sophian Kandar Ketua Jabatan Awam.

Halaman 27 dari 33