Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia

Institusi Latihan Kemahiran Belia & Sukan

 

 

 

IKBN KINARUT TURUT SERTA DALAM PROJEK NBOS DI KOLEJ SAINS KESIHATAN BERSEKUTU, KOTA KINABALU

 


KOTA KINABALU - IKBN Kinarut antara sembilan agensi kerajaan dan institut latihan kemahiran yang turut serta dalam projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bertempat di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Kota Kinabalu pada 13 hingga 17 Februari yang lalu.

 

Projek NBOS yang dijalankan adalah bertujuan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil dengan kos yang rendah serta dapat memgemblengkan tenaga manusia dari agensi luar menerusi kolaborasi yang mantap. Selain itu, projek NBOS yang dilaksanakan dapat mengeratkan hubungan di antara warga Kolej dengan angota-anggota dari pelbagai agensi kerajaan sekaligus menyemai semangat kerja berpasukan didalam kalangan staf dan pelatih kolej.

 

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuk memasang perancah serta mengecat keseluruhan bahagian luaran dan koridor bangunan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu yang telah berusia 10 tahun serta mengikis cat lama dan melapiskan dengan cat yang baru.

 

Antara agensi terlibat adalah adalah Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, Markas Angkatan Tentera, Jabatan Kerjaraya, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, TLDM dan Institut Latihan Perindustrian manakala IKBN Kinarut telah menghantar seramai 24 orang pelajar Jurusan Binaan Bangunan Tahap 3 termasuk pengajar.

 

Dalam pada itu, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu telah menyediakan pengangkutan, peralatan untuk mengecat serta makan-minum kepada yang terlibat.

 


 

LAWATAN AUDIT SURUHANJAYA TENAGA KE IKBN KINARUT

 

KINARUT, Satu lawatan audit pusat bertauliah oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) telah diadakan di IKBN Kinarut selama 2 hari bagi memeriksa prosedur pengambilan pelajar, kelengkapan dan pematuan syarat-syarat pentauliahan yang ditetapkan oleh ST.

 

Seramai 3 orang pegawai ST telah hadir iaitu Encik Abd Razak Amin, Encik Azharudin Yusof Mansor dan Encik Muhamad Zaiful Asmi Sulaiman telah menjalankan pemeriksaan di bahagian Penjaga Jentera Elektrik dan Pendawaian Elektrik.

 

Walaupun terdapat teguran dan pembetulan kecil yang perlu dilakukan, namun secara keseluruhan pihak IKBN Kinarut terutamanya Jabatan Elektrik telah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh ST.

 

Pihak ST juga memuji mengenai persediaan yang dilakukan seperti kelengkapan peralatan dan bahan guna habis yang mencukupi serta sistem pengurusan rekod calon peperiksaan yang disimpan dengan kemas.

 

Turut hadir dalam sesi pemeriksaan tersebut adalah Pengarah Jabatan Kawalselia Keselamtan Elektrik Encik Mohd Elmi Anas, Timbalan Pengarah IKBN Kinarut Encik Suhaidi Mustar dan Ketua Jabatan Elektrik Encik Mohd Yasser Ayob. 

 

 

MAJLIS BELIA SABAH SETUJU BEKERJASAMA DENGAN IKBN KINARUT UNTUK PROGRAM KOMUNITI

 

 

KINARUT, Majlis Belia Sabah (MBS) pada dasarnya bersetuju dengan Institut Kemahiran Belia Negara Kinarut untuk bekerjasama dalam kerja-kerja komuniti yang melibatkan MBS dan pelatih-pelatih IKBN Kinarut.

 

Perkara ini telah mendapat persetujuan bersama semasa lawatan rombongan Majlis Belia Sabah (MBS) yang diketuai oleh Encik Azuwan Marjan Timbalan Presiden MBS kepada Pengarah IKBN Kinarut Hj Razali Mohamad di pejabat belia hari ini.

 

Selain dari  membincang beberapa aktiviti dan program yang boleh dimanfaat secara bersama, perjumpaan itu juga telah banyak melahirkan idea-idea baru bagaimana kedua-dua badan itu boleh bekerjasama dalam membantu belia-belia negeri Sabah adalah bidang latihan kemahiran.

 

Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Puan Fatimah Abdul Rahman Penolong Pengarah IKBN Kinarut, Encik Zikri Zainudin Setiausaha Agung MBS, Encik Abqaree Fawwaz Abekan Ketua Penerangan MBS, Encik Mazlan@Joehari Manan Naib Presiden MBS dan Noorzilan Mohd Tairudin EXCO MBS.

 

 

LAWATAN KE KOLEJ KOMUNITI TAWAU BERI MANFAAT KEDUA-DUA INSTITUT

 

TAWAU, Rombongan daripada Institut Kemahiran Belia Negara Kinarut baru-baru ini telah melakukan lawatan ke Kolej Komuniti Tawau bagi melihat bidang latihan kemahiran terutama dalam bidang elektrik dan penghawa dingin.

 

Rombongan yang diketuai oleh Hj Razali Mohamad Pengarah IKBN Kinarut bersama beberapa orang Ketua Jabatan, Pengajar dan Pegawai Kewangan.

 

Semasa lawatann tersebut Pengarah Kolej Komuniti Tawau Encik Rashid Saat telah memberi taklimat ringkas tentang peranan Kolej Komuniti Tawau kepada rombongan IKBN Kinarut.

 

Menurut Hj Razali hasil lawatan tersebut beberapa bidang latihan dan keperluan boleh dimanfaatkan selain bertukar-tukar fikiran dan pandangan kedua-dua Institut Latihan Awam itu boleh dikongsi keperluan latihan bagi manafaat kedua-dua pelajar-pelajar Institut masing-masing.

 

Rombongan IKBN Kinarut juga berkesempatan melawat bengkel-bengkel Jabatan elektrik dan Penghawa Dingin yang terdapt dibangunan Kolej Komuniti Tawau.

 

 

“ TOTAL CLEANING ” OLEH TEAM PENDAWAIAN ELEKTRIK

 

 

KINARUT, Pembersihan secara besar-besaran oleh pelajar-pelajar dan pengajar Jurusan Elektrik telah dilakukan bertempat di  “Rumah Contoh” Institut Kemahiran Belia Negara Kinarut baru-baru ini.

 

Pembersihan tersebut telah diketuai oleh pengajar Jurusan elektrik Encik M.M Yusdi Otoh bersama beberapa orang pengajar yang lain.

 

“Rumah Contoh” adalah rumah teres dua tingkat yang selalu digunakan oleh pelajar-pelajar Jurusan Elektrik untuk melakukan kerja-kerja praktikal seperti kerja-kerja pemasangan dan membaikpulih alat elektrik serta kendali papan suis utama.

 

Menurut Encik M.M Yusdi Otoh kerja-kerja pembersihan Berjaya dilakukan dalam masa dua hari dengan melibatkan 25 orang pelajar. Selain membuang bahan-bahan terpakai, pelajar-pelajar juga bergotong royong membaiki bahan-bahan yang sudah tidak digunakan dan ada juga dijual sebagai bahan sisa.

 

 

VERIFIKASI SIJIL KEMAHIRAN MALAYSIA MELALUI PENTAULIAHAN PENILAIAN TERDAHULU (PPT)

 

KINARUT, 11 Febuari 2017 – Perlaksanaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) melalui kaedah PPT. Semakan dan pengesahan Portfolio Penilaian Pencapaian Terdahulu (PPT) bagi program EE-021-4:2012 (Pembangunan Produk Elektronik) diadakan di IKBN Kinarut.

 

Sesi semakan dan pengesahan dilaksanakan secara sistematik oleh Pegawai Penilai (PP-PPT) Encik Jumadi Bin Mading daripada Kolej Vokasional (KV), Tawau. Ini dapat menggambarkan ketrampilan calon dalam memenuhi keperluan setiap duti dalam NOSS.

 

Seramai 4 orang calon melalui kaedah PPT dimana 2 orang calon daripada IKBN Kinarut iaitu Puan Fatimah Anisah Mohamad dan Puan Salina Siee bagi pentauliahan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) tahap 4 manakala 2 lagi calon daripada Kolej Vokasional Beaufort iaitu Encik Riduan dan Encik Sumari.

 

Perlaksanaan melalui kaedah PPT, calon PPT dikehendaki memenuhi kriteria-kriteria bagi membuktikan serta memiliki keterampilan dalam bidang kemahiran yang disediakan dalam daftar NOSS dan mampu mengemukakan bukti-bukti keterampilan untuk dinilai dan disahkan oleh Pegawai Penilai (PP-PPT).

Khamis, 09 February 2017 15:04

PERHIMPUNAN MESRA BULANAN BERSAMA PENGARAH

 

 

PERHIMPUNAN MESRA BULANAN BERSAMA PENGARAH

 


KINARUT, 08 FEBUARI 2017 – IKBN Kinarut sekali lagi mengadakan Perhimpunan Mesra Bulanan Bersama Pengarah bagi Bilangan ke 2/2017 yang dihoskan oleh Cawangan Hal Ehwal Pelajar bertempat di Bilik Transformasi, Bengkel Pelukis Pelan dan Senibina.

 

Perhimpunan Mesra Bulanan yang diadakan pada setiap bulan bertujuan untuk membolehkan ketua jabatan menyampaikan amanat dan maklumat semasa disamping mengeratkan hubungan di antara warga IKBN Kinarut selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 2007 – Panduan Pengurusan Pejabat.

 

Dalam Perhimpunan tersebut Pengarah telah menyeru kepada warga IKBN Kinarut supaya mempertingkatkan nilai-nilai integriti serta menerapkan nilai-nilai kebertanggungjawaban, jujur serta amanah disetiap perlakuan, perkhidmatan serta tugas yang digalas. Beliau juga mengalakkan warga IKBN Kinarut sentiasa melibatkan diri dalam program jabatan sebagai sokongan kepada usaha yang diberikan disamping menambahkan ilmu pengetahuan dalam perkara baru diluar bidang tugas.

 

Selain itu juga Pengarah memaklumkan bahawa KBS pada tahun ini akan melaksanakan Pertandingan Anugerah ILKBS Terbaik 2017 bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada ILKBS yang mencapai tahap pengurusan kualiti yang sangat cemerlang yang merangkumi Pengurusan Pembelajaran dan Pengajaran, Indeks Pencapaian Utama Transformasi, Pengurusan Pentadbiran, Pengurusan Kewangan, Pengurusan Hal Ehwal Pelajar serta Kemasyaratan, Kesukarelaan dan Aktiviti.

 

Dalam majlis yang berkaitan, penganugerahan Pekerja Terbaik Bulan Januari telah diberikan kepada En. Mohd Reidzlan bin Sutrisno, Ketua Cawangan Penyelarasan dan Kawalan Kualiti dan En. Anzari bin Mohd Daud, Ketua Bahagian Penjaga Voltan Rendah. Manakala Penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Badminton Tertutup IKBN Kinarut telah dimenangi oleh pasangan beregu M.Azman bin M.Arsad dan Mohd Mohan Sohhar, tempat ketua dimenangi olah pasangan beregu Zazali bin Zahari dan Kelaman bin Samad manakala tempat ketiga dikongsi oleh dua pasangan beregu Razali Mohamad, Pengarah dan Anzari bin Mohd Daud serta Rosli bin Abu Bakar dan Harun bin Jamaludin.

 

Selain itu juga sambutan hari lahir bagi bulan Februari juga telah disambut dengan meriah sekali disamping penyampaian hadiah bagi cabutan nama bertuah dan kakitangan IKBN yang paling awal mendaftar semasa majlis tersebut juga telah diberi hadiah yang menarik daripada Cawangan Hal Ehwal Pelajar selaku tuan rumah.

 

Turut hadir dalam perhimpunan pagi tersebut adalah Timbalan Pengarah Latihan, En. Suhaidi Mustar dan Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Puan Fatimah Abd Rahman.

 

“ENGLISH CORNER” DI PEJABAT PENTADBIRAN IKBN KINARUT

 

KINARUT,  Pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar IKBN Kinarut telah berjaya mewujudkan sudut bahasa Inggeris atau “English Corner” diruang lobby IKBN Kinarut mulai hari ini.

 

Menurut Puan Fatimah Abdul Rahman Penolong Pengarah IKBN Kinarut idea penubuhan English Corner ini adalah hasil perbincangan semua pihak sesuai dengan strategik perlaksanaan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran di ILKBS.

 

Menurut beliau lagi melalui English Corner pelajar-pelajar boleh mendapatkan bahan-bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris seperti majalah, surat khabar dan buku-buku bacaan.

 

Apa yang mengembirakan kata beliau segala pengwujudan English Corner tidak memerlukan sebarang kos kerana buku-buku dan majalah Inggeris semuanya disumbangkan oleh staf dan kakitangan IKBN Kinarut.

 

“Saya berharap para pelajar dan semua kakitangan memanfaatkan sudut Bahasa Inggeris ini untuk menambah pengetahuan dan kemahiran berbahasa Inggeris terutama pada hari Isnin yang dijadikan hari bahasa Inggeris di IKBN Kinarut “ tambah Puan Fatimah.

 

Selain daripada bahasa English Corner IKBN Kinarut juga melaksanakan Speaker Session, Puclic Speaking, English Club dan English Day bagi mendedahkan pelajar-pelajar IKBN Kinarut mahir berbahasa Inggeris.

 

MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PERLANTIKAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR IKBN KINARUT

 

 

KINARUT, 09 Febuari 2017 - Majlis penyerahan perlantikan kepada Watikah barisan Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi 2017 telah disempurnakan oleh Pengarah IKBN Kinarut, Hj Razali Mohamad bertempat di Dewan Limau-Limauan, IKBN Kinarut.

Perlantikan para barisan MPP tersebut bertujuan untuk mendidik dan memupuk sifat kepimpinan pelajar agar lebih berdedikasi, bertanggungjawab dan berketerampilan.

 

Seramai 10 orang pelajar yang diberi watikah perlantikan MPP mewakili pelajar IKBN Kinarut bagi sesi Januari - Julai 2017. Barisan MPP yang baru diketuai oleh Rizal Sudirman, Suhaimi Amir Timbalan Presiden, Nurul Faralina Mustarim Naib Presiden, Amir Hazizi Mohd Nazaruddin Setiausaha, Sofina Yunus Bendahari serta dibantu oleh 5 orang EXCO melaksanakan tanggungjawab mewakili suara pelajar-pelajar IKBN Kinarut.

 

Dalam ucapan sulung Presiden MPP Rizal Sudirman berjanji bahawa beliau akan cuba berusaha sedaya upaya bersama team MPP untuk lebih proaktif dan cemerlang dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka, ujar Rizal.

 

Turut dalam majlis penyerahan tersebut Encik Suhaidi Mustar Timbalan Pengarah Latihan dan Puan Fatimah Abdul Rahman Penolong Pengarah merangkap Ketua Hal Ehwal Pelajar serta pegawai-pegawai IKBN Kinarut, Sabah.

 

PETRONAS CHEMICALS FERTILISER BERMINAT BEKERJASAMA DENGAN IKBN KINARUT

 

 

KINARUT, Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd akan menghantar beberapa orang kakitangan untuk mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang elektrik di IKBN Kinarut, Sabah.

 

Perkara ini telah dinyatakan oleh Encik Nor Pengurus Sumber Manusia PCFSSB dalam pertemuan beliau dengan Hj Razali Mohamad Pengarah IKBN Kinarut di IKBN Kinarut semalam.

 

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Tuan Hj Haslizam Rahmat pengurus program elektrik Institut Latihan Petronas (INSTEP) dan Encik Lamama Biting dari PC Methanol Labuan dan wakil dari Petronas KLCC.

 

Menurut Encik M Nor lagi, Petronas Chemical Fertiliser berminat untuk bekerjasama dengan pihak IKBN Kinarut dalam bidang elektrik voltan rendah seperti A0, A1,A4 dan voltan tinggi seperti B0 11kV yang mula ditawarkan oleh pihak IKBN Kinarut.

 

Selain daripada itu, pihak Petronas Chemical Fertiliser yang beroperasi di Samur projek Sindumin, Sipitang juga menawarkan lawatan kepada pengajar IKBN Kinarut untuk melihat secara dekat kemudahan dan tempat yang boleh dikongsi secara bersama dengan pihak IKBN Kinarut.

 

Turut hadir dalam pertemuan ialah Encik Suhaidi Mustar Timbalan Pengarah IKBN Kinarut dan Encik Mohd Yasser Ayob Ketua Jabatan Elektrik IKBN Kinarut.

Halaman 30 dari 33