Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia

Institusi Latihan Kemahiran Belia & Sukan

 

PELAJAR IKBN KINARUT TERTARIK DENGAN PEMENTASAN TEATER

 

 

KOTA KINABALU, 5 NOVEMBER 2016 – Seramai 10 orang pelajar IKBN Kinarut telah menghadiri satu pementasan teater Pulau Tanpa Cinta karya penggiat seni tempatan Sabah, Jasni Matlani. Pementasan teater berdurasi 1 jam tersebut telah dipentaskan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah.

 

Pementasan teater anjuran Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) telah menarik perhatian pelajar IKBN Kinarut yang menyaksikannya. Salah seorang pelajar yang juga Presiden MPP, saudara Mohd Hamizie bin Lan berkata, walaupun seni teater tersebut sukar difahami namun ia sangat mengujakan. Turut hadir menyaksikan pementasan teater tersebut adalah Puan Nor Hashikin Abd Razak dan Puan Diona Florastica dari Cawangan Hal Ehwal Pelajar.

 

Disunting Oleh :- Fatimah Abd Rahman

                         IKBN Kinarut

MAJLIS PERJUMPAAN PEGAWAI DAN KAKITANGAN IKBN KINARUT BERSAMA

DR HAJAH WASITAH BT. MOHD YUSOF

 

 

Pegawai dan kakitangan IKBN Kinarut telah mengadakan satu perjumpaan bersama Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia yang baharu iaitu Dr. Hajah Wasitah binti Mohd Yusof pada 15 Oktober 2016 yang lalu. Perjumpaan tersebut bertujuan untuk memberi penerangan tentang perancangan, misi serta visi Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia pada masa depan.

  

Dr. Hajah Wasitah juga menyeru sepada semua warga IKBN Kinarut supaya berkerja dalam satu pasukan dan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan awam secara keseluruhan. Beliau juga menegaskan tentang amanah dan integriti dalam melaksanakan tugas dan memberi pekhidmatan yang terbaik kepada pelanggan terutamanya kepada pelajar serta perlu memahami objektif asal penubuhan IKBN.

   

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengarah IKBN Kinarut, Haji Razali bin Mohamad, Pegawai dari Cawangan Operasi Latihan, Puan Zaliha bt. Abu Bakar, Timbalan Pengarah Latihan, En. Suhaidi Mustar.

 

 

Disunting Oleh :-  Fatimah Abd Rahman

                          IKBN Kinarut

LAWATAN PEMATUHAN PEROLEHAN AKAUN AMANAH LATIHAN

                                                                                                    

 

 

KINARUT, 26 OKTOBER 2016 – IKBN Kinarut telah menerima satu lawatan daripada Pengarah Cawangan Latihan Luar, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Puan Hajah Zawiah binti Muhammad bersama pegawainya Puan Syahirah Sapiee.

Lawatan tersebut bertujuan untuk melihat perkembangan pentauliahan Kursus Penjaga Elektrik Kategori BO 11KV dan pematuhan kepada proses perolehan peralatan dan penyelenggaraan di bawah Akaun Amanah Latihan yang menggunakan dana yang telah disalurkan melalui Suruhanjaya Tenaga.

 

Semasa lawatan tersebut juga, Puan Hajah Zawiah telah memeriksa dokumen-dokumen yang berkaitan serta peralatan-peralatan yang telah diperolehi melalui dana tersebut. Beliau dan rombongan juga telah dibawa ke bengkel PJE Kategori BO 11KV untuk melihat sendiri peralatan-peralatan yang telah diselenggarakan.

   

Turut hadir dalam lawatan tersebut adalah Pengarah IKBN Kinarut, Haji Razali bin Mohamad, Ketua Jabatan ELektrik En. Mohd Yasser bin Ayob serta salah seorang pengajar En. Mohd Hafis Harun.

Disunting Oleh :- Fatimah Abd Rahman

                           IKBN Kinarut

PERJUMPAAN KHAS KP BPKB BERSAMA MPP IKBN KINARUT

 

IKBN KINARUT - Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Dr. Hajah Wasitah binti Mohd Yusof telah mengadakan satu perjumpaan khas bersama Majlis Perwakilan Pelajar IKBN Kinarut pada 15 Oktober 2016 yang lalu. Perjumpaan khas tersebut bertujuan untuk memberi pemahaman tentang peranan dan tanggungjawab sebagai Majlis Perwakilan Pelajar serta tugas-tugas yang digalas oleh setiap Ahli Majlis Tertinggi.

 

Majlis Perwakilan Pelajar IKBN Kinarut Sesi 2016/2017 terdiri daripada 15 orang ahli masing-masing memegang peranan dan tanggungjawab di antaranya Naib Presiden 1 & 2, Setiausaha, Bendahari, Biro Sukan dan Rekreasi, Biro Kerohanian, Biro Disiplin, Biro Kebajikan dan lain-lain lagi bagi membantu dan memudahcara tentang masalah, cadangan dan aktiviti di antara pihak pelajar dengan pihak pengurusan.

Dalam perjumpaan ringkas itu juga, Dr. Hajah Wasitah menegaskan bahawa MPP perlu sentiasa aktif dan kerap mengadakan aktiviti yang berfaedah kepada pelajar-pelajar agar masa lapang pelajar yang terluang terutamanya pada hujung minggu boleh diisi dengan aktiviti yang bermanfaat.

Presiden MPP saudara Mohd Hamizie bin Lan juga memaklumkan agar ahli-ahli MPP diberi latihan secukupnya bagi menambahnilai kepada pengetahuan yang sedia ada. Cadangan latihan seperti Kursus Kepimpinan Asas, Kursus Rekreasi Luar dan lain-lain lagi yang difikirkan sesuai.   

 

Turut hadir dalam perjumpaan tersebut adalah Pengarah IKBN Kinarut, Haji Razali bin Mohamad, Pegawai dari Cawangan Operasi Latihan, Puan Zaliha bt. Abu Bakar dan Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Puan Fatimah Abd Rahman.

 

Disediakan Oleh :- Fatimah Abd Rahman

                             IKBN Kinarut

MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-9 TAHUN 2016 SEBAGAI KENANGAN TERINDAH BUAT

GRADUAN IKBN KINARUT 

 

 

IKBN KINARUT - Majlis Konvokesyen IKBN Kinarut Kali Ke-9 telah dibuka secara rasminya pada 15 Oktober 2016 yang lalu oleh YBhg Dr. Hajah Wasitah binti Mohd Yusof, Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia dengan menyaksikan pengaugerahan Sijil Kemahiran Malaysia dan Sijil Kompeten Suruhanjaya Tenaga kepada seramai 354 orang graduan dalam pelbagai jurusan dan peringkat pengajian. Ia merupakan hari kemenangan dan kenangan terindah kepada semua graduan IKBN Kinarut kerana telah melepasi segala cabaran bergelar sebagai pelajar sepanjang menjalani latihan dan pengajiannya di IKBN Kinarut.

Dalam majlis tersebut juga, YBhg Dr. Hajah Wasitah binti Mohd Yusof telah menganugerahkan pelajar Jurusan Binaan Bangunan Tahap Tiga, saudara Dahlan bin Abdul Malek sebagai Penerima Anugerah Graduan Cemerlang Keseluruhan dengan menerima wang tunai sebanyak RM1000.00 beserta Piala Iringan dan Sijil Penghargaan manakala pelajar Jurusan Pendawaian Elektrik Tiga Fasa (PW4), saudara Mohd Razman bin Lakunsim dan saudari Nurul Farahlina binti Mustarim, pelajar Jurusan Pelukis Pelan Tahap 2, kedua-duanya sebagai Penerima Anugerah Graduan Cemerlang dengan membawa pulang Piala Iringan dan Sijil Penghargaan. Bekas pelajar IKBN Kinarut, saudara Azrie Aziz dalam Jurusan PW2 (2006) dan PW4 (2009) yang telah berjaya menceburi dalam bidang keusahawanan khusunya bidang pendawaian elektrik dan memiliki syarikat sendiri iaitu MAMA Group telah dinobatkan sebagai Anugerah Tokoh Pelajar Terbaik sempena Majlis Konvokesyen IKBN Kinarut Kali ke-9 ini. 

 

 

 

Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, YBhg Dr. Hajah Wasitah binti Mohd Yusof dalam ucapan pembukaan rasmi beliau berharap dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang telah diperolehi semasa para graduan berada di IKBN seperti Kemahiran Teknikal dan Pembangunan Insan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan beliau juga menyeru supaya para graduan tidak  berhenti sekatat itu sahaja tetapi meneruskan usaha menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya mendapat pekerjaan yang diperlukan oleh pasaran industri negara ataupun menjadi seorang usahawan yang berjaya.   

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Tuan Haji Awang Damit bin Haji Awang Anak, Pengarah IKBN Kinarut, Tuan Haji Razali bin Mohamad, Pengarah Suruhanjaya Tenaga Sabah, Pengarah IKTBN Alor Gajah, IKBN Peretak, IKBN Miri, IKBN Kuala Perlis dan IKBN Bandar Penawar. 

Disunting Oleh :- Fatimah Abd Rahman

                           IKBN Kinarut

 

TEMUDUGA TERBUKA PELAJAR IKBN KINARUT BERSAMA GAMUDA BERHAD

 

KOTA KINABALU, 15 SEPTEMBER 2016 - IKBN Kinarut baru-baru ini telah menerima kunjungan daripada pegawai KBS yang diketuai oleh Cik Zatul Iradah dan pegawai dari Gamuda Berhad yang diketuai oleh Encik Chong selaku ‘Senior Manager’ Gamuda Berhad.

 

 

Seramai 32 orang pelajar semester akhir telah menghadiri sesi temuduga dimana sasaran utama adalah  lepasan pelajar dalam bidang elektrik.Sesi temuduga bermula pada jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang yang dimulai dengan taklimat pengenalan syarikat dan program oleh wakil Syarikat Gamuda.

 

Berdasarkan maklumbalas yang diterima oleh pihak Gamuda, pihak mereka bersetuju untuk mengadakan sesi temuduga yang berikutnya pada Program Gerbang Kerjaya IKBN Kinarut yang dijadualkan berlangsung pada 28 September ini.

 

 

Disediakan oleh:

Unit berita ikbn kinarut

 

IKBN KINARUT RANGKA KERJASAMA INDUSTRI DENGAN ITEC SDN BHD

 

KENINGAU, 15 SEPTEMBER 2016 – IKBN Kinarut yang diketuai oleh Timbalan Pengarah IKBN Kinarut, Suhaidi Bin Mustar bersama 3 pegawai telah mengadakan perbincangan bersama syarikat ITEC Sdn Bhd. bagi mewujudkan program kerjasama antara pihak IKBN Kinarut dan ITEC.

 

Rombongan lawatan IKBN tersebut disambut baik oleh pihak ITEC yang diketuai oleh Puan Diana, Penyelia Projek dan beberapa orang lagi staf yang lain. ITEC merupakan sebuah syarikat yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan pemasangan elektrik dan kerja-kerja pembinaan.

 

Berdasarkan perbincangan yang telah dibuat oleh pihak IKBN dan ITEC dalam lawatan tersebut, dijadualkan majlis menandatangani MOU antara kedua belah pihak akan diadakan pada 28 September ini bersempena dengan Program Gerbang Kerjaya IKBN Kinarut 2016.

 

Disediakan:

Unit berita IKBN kinarut

Halaman 33 dari 33