PERUTUSAN

PENGARAH

 

PengarahKhailani

 

Assalamualaikum w.b.t.

Salam 1 Belia 1 Malaysia. Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya saya diberikan tanggungjawab untuk memimpin Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar. Saya teringat akan kata-kata sarjana Islam tersohor iaitu Imam Al-Ghazali bahawa, untuk menaakul rupa bentuk sesebuah negara pada masa hadapan, maka lihatlah pada anak-anak mudanya pada hari ini. Kata-kata ini menunjukkan perihal negara yang mempunyai kepentingan dalam masa depan, saudara dan saudari semua sebagai penentu rupa wajah Malaysia pada masa hadapan.

 

Hakikatnya kejayaan saudara dan saudari adalah kejayaan IKBN Bandar Penawar dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja mempunyai kemahiran bahkan mempunyai ilmu pengetahuan dimana Negara Malaysia memerlukan pekerja berpengetahuan dan mahir atau K-Worker dalam bilangan yang ramai. Era dan revolusi bidang ICT menuntut kepada pendekatan yang penuh kreatif dan inovatif dalam berkomunikasi dengan mereka.

 

Oleh yang demikian, media alternatif mesti dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan muda amnya dan khasnya kepada para pelajar IKBN Bandar Penawar ditambah dengan kemahiran yang dipelajari, saya percaya anda mampu menggalas cabaran-cabaran yang mendatang pada masa hadapan. Dengan prasarana yang lengkap serta bahan pembelajaran yang canggih, IKBN Bandar Penawar mampu untuk menjadikan para pelajar lebih berdaya saing selaras dengan visi dan misi IKBN bagi melahirkan belia berkemahiran dan kompeten di peringkat negara mahu pun di peringkat antarabangsa.

 

Dengan pelbagai pertandingan yang kita dedahkan antaranya seperti Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM), pelajar yang dihasilkan oleh IKBN menjadi rebutan industri dalam dan luar Negara. Dalam konteks ini, saya menyeru kepada golongan belia untuk tidak membuang masa kepada aktiviti yang merosakkan akhlak, tidak berfaedah dan perkara-perkara yang negatif kerana anda merupakan pelapis dan bakal peneraju negara pada masa hadapan.

 

Tuntasnya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, seluruh Jabatan Belia Sukan, IKBN/IKTBN serta semua agensi kerajaan dan swasta dan orang perseorangan yang bekerjasama dengan Institut Kemahiran Belia Negara ( IKBN ) Bandar Penawar dalam menjayakan program-program yang dianjurkan dalam melahirkan belia yang berkemahiran serta kompeten.

 

Sekian. Wassalam.

 

 

 

 

 

 

Find us on Facebook
Follow Us