IKBN



KEMASIK

 

LATAR BELAKANG



Institut Kemahiran Belia Negara Kemasik (IKBNK), Terengganu merupakan salah satu dari 21 buah Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia. Terletak kira-kira satu (1) kilometer dari Bandar Kemaman melalui Jalan Kemaman-Dungun. Pembinaan institut ini telah bermula sejak 1 Disember 2007 dan mula beroperasi secara rasminya pada 18 Oktober 2010. Kawasan seluas 50 ekar ini mampu menampung sehingga 500 orang pelatih pada satu masa.


Institut ini ditubuhkan adalah bertujuan untuk memberi pendekatan latihan berasaskan pelaksanaan semasa iaitu meliputi pendidikan Bina Insan dan Latihan Kemahiran. Pendidikan Bina Insan dilaksanakan melalui aktiviti keagamaan, kawad, kepimpinan, keusahawanan, ketatanegaraan, kemasyarakatan dan kesukanan. Latihan Kemahiran terdiri daripada kuliah teori (30%) dan latihan praktikal (70%).


Penubuhan ILKBS juga pada dasarnya adalah untuk menampung permintaan tenaga mahir yang semakin meningkat di negara ini. Pendekatan yang diambil pihak KBS bagi penubuhan ILKBS ini dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga mahir negara.


IKBN Kemasik telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Terengganu pada 4 Oktober 2012, iaitu pada hari Khamis di Dewan Seri Suria, IKBN Kemasik. Majlis gilang gemilang ini telah dihadiri oleh VVIP yang terdiri daripada barisan kepimpinan kerajaan negeri Terengganu, barisan kepimpinan pengurusan tertinggi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), wakil agensi kerajaan dan swasta dari daerah Kemaman dan wakil pemimpin masyarakat setempat.


Majlis ini dimulakan dengan tabik hormat daripada pelajar IKBN Kemasik, perbarisan Rejimen Askar Wataniah, bacaan al-Quran dan nasyid daripada pelajar IKBN serta persembahan tarian. Kemuncak majlis ini adalah pelancaran gimik perasmian dan acara menandatangani plak perasmian IKBN Kemasik. DYMM sultan dan sultanah berangkat meninggalkan majlis pada jam 11.45 pagi.



Institut yang didirikan di atas kawasan seluas 50 ekar ini mampu menampung sehingga 500 orang pelatih pada satu masa dan telah memulakan sesi pengambilan yang pertama pada Julai 2011. Antara bidang yang ditawarkan di IKBN Kemasik ialah bidang Jurusan Perhotelan, Hospitaliti, Multimedia dan Perkhidmatan Personel.


Selain bangunan pentadbiran dan bengkel mengajar, pihak IKBN Kemasik juga menyediakan kemudahan-kemudahan seperti Perpustakaan, Padang Hoki, Gelanggan Futsal, Gelanggang Sepak Takraw, Gelanggang Bola Jaring, Gelanggang Bola Tampar, Surau, Dewan Makan, Kuarters, Asrama, Dewan Serbaguna, Kafeteria dan lain-lain lagi untuk kegunaan pegawai & kakitangan, pelajar IKBN Kemasik serta untuk sewaan orang ramai.

 



VISI

Membina generasi belia yang mempunyai jati diri dan kompeten dalam kemahiran bagi memenuhi keperluan pembangunan negara

MISI

Menghasilkan belia yang berkemahiran, berdisiplin, berakhlak mulia dan berwawasan untuk keperluan tenaga kerja selaras dengan pembangunan negara.




OBJEKTIF

INSTITUSI


i . Menyediakan latihan intensif berorientasikan pengeluaran dalam bidang Hospitaliti, Perhotelan, Perkhidmatan Personal dan Multimedia;
ii . Melahirkan tenaga mahir di dalam bidang-bidang yang berkenaan ke arah memenuhi keperluan perindustrian negara yang berorientasikan kepakaran dan berketrampilan;
iii . Mengembangkan dan mempelbagaikan latihan berasaskan teknologi terkini;
iv . Melahirkan tenaga kerja yang berkualiti, berpengetahuan dan berkemahiran bersesuaian dengan permintaan negara; dan
v . Mengukuhkan ekonomi negara dengan menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam bidang yang ditawarkan.



PIAGAM

PELANGGAN


Piagam pelanggan IKBNK adalah seperti yang berikut:

 

i . Memastikan keputusan permohonan memasuki program latihan kemahiran diketahui lima (5) minggu selepas tarikh permohonan ditutup.
ii . Memastikan pengajar menghadiri kursus peningkatan kemahiran sekurang-kurangnya satu (1) kali dalam setahun.
iii . Memastikan modul latihan dikaji semula dalam tempoh satu (1) tahun dari tarikh arahan yang dikeluarkan oleh badan pengiktirafan.
iv . Memastikan kemudahan dan peralatan latihan keperluan standard industri.
v . Pencapaian piagam pelanggan
 
Find us on Facebook
Follow Us