IKBN



PERETAK

 

LATAR BELAKANG

peretak

Institut ini mula diwujudkan pada tahun 1954 dan bertapak di Morib, Selangor. Pada peringkat awal ia dikenali sebagai Dewan Belia Morib (Morib Youth Hall) dan berfungsi sebagai pusat khidmat masyarakat. Pada tahun 1964, ia dipindahkan ke Peretak, Kuala Kubu Bharu dan dinamakan sebagai Pusat Latihan Belia Kebangsaan, Peretak. Ianya dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 29hb November 1964.


Peningkatan kemajuan serta kepentingan Latihan Vokasional dan Kemahiran telah membawa status ke Institut pada tahun 1991, dan dinamakan sebagai Institut Kemahiran Belia Negara Peretak. Berikutan Projek Empangan Sungai Selangor, Institut ini berpindah ke Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu pada 1hb Julai 2002. Kompleks baru Institut ini dirasmikan oleh YB Datuk Azalina Dato` Othman Said, Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada 30hb April 2004.


Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, sekarang terletak di Ampang Pecah kira – kira 4 km dari Pekan Kuala Kubu Bharu, melalui Jalan Hamzah ke Pekan Rasa dan ia adalah 65 km dari Bandaraya Kuala Lumpur. Ia didirikan di atas kawasan seluas 75 ekar dan pembangunan hanya dibina seluas 25 ekar sahaja. Ia terletak berhampiran dengan beberapa Institut Pengajian seperti Darul Quran, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Kem Bina Semangat, Ampang Pecah.

IKBN ini merupakan salah satu daripada 20 IKBN di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Fokus utama Institut ini adalah untuk melahirkan sumber tenaga belia yang memiliki keterserlahan dalam bidang kemahiran dan kesempurnaan dalam sahsiah. Institut ini ditadbir oleh seorang Pengarah, dibantu oleh Ketua Bahagian Kemahiran, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar serta Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan. Jumlah keseluruhan pegawai dan kakitangan pada masa ini ialah 85 orang. Kapasiti semasa pelajar seramai 412 orang.


PERTUKARAN NAMA AGENSI
1954 - Balai Latihan Pemuda Pemudi Kebangsaan Morib
1967 - Pusat Latihan Belia Negara Peretak
1991 - Institut Kemahiran Belia Negara Peretak


PERUBAHAN STRUKTUR AGENSI
1954 - Di bawah Kementerian Kebajikan Masyarakat
1967 - Diambil alih oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan
1987 - Kementerian Belia dan Sukan

 

VISI

Membentuk dan melahirkan generasi belia yang berkemahiran, berdisplin, berdaya saing dan berakhlak mulia bagi menepati keperluan pembangunan Negara.

MISI

Menghasilkan seramai mungkin belia yang berkemahiran dalam bidang teknikal, berwawasan dan berakhlak mulia untuk keperluan tenaga kerja yang berketerampilan selaras dengan dasar pembangunan Negara.

OBJEKTIF

INSTITUSI


Dengan adanya objektif umum ini diharap IKBN Peretak akan dapat menyediakan dan memberi kemudahan untuk melatih belia-belia dalam ilmu kemahiran serta pembangunan insan dengan cekap dan berkesan dengan membudayakan disiplin ilmu dalam bidang berikut:

1. Latihan kemahiran
2. Latihan kepimpinan dan ketatanegaraan
3. Latihan keusahawanan
4. Latihan kerohanian dan keagamaan
5. Pembangunan insan melalui kawad dan disiplin
6. Kemudahan dan khidmat sokongan

 

OBJEKTIF UMUM

 

1. Melahirkan belia yang berketrampilan dan berkemahiran dalam bidang Fotografi, Hospitaliti, Tekstil & Apparel dan Personal bagi pembangunan agama, bangsa dan Negara.
2. Melahirkan belia-belia yang beragama, berdisplin, mempunyai jati diri, bersemangat patriotik dan berkepimpinan ke arah kesinambungan pembangunan Negara.
3. Menyediakan peluang-peluang latihan kemahiran serta pembangunan insan.
4. Mewujudkan perhubungan mantap dan perkongsian bijak (smart partnership) dengan jabatan, agensi, badan-badan kemahiran dan industri seluruh Negara.
5. Menyediakan peluang-peluang latihan kemahiran “on job training” (latihan sambil bekerja) kepada pelajar.
6. Membentuk belia-belia yang bersedia menghadapi cabaran dalam pekerjaan.
7. Membentuk belia yang cergas dari segi minda dan fizikal.

 

OBJEKTIF KHUSUS

 

1. Memberi latihan vokasional dan teknikal untuk membolehkan para belia mendapat peluang pekerjaan yang cemerlang dan mampu bekerja sendiri.
2. Meningkatkan disiplin di kalangan belia sesuai dengan aspirasi negara.
3. Memberi latihan kemahiran lanjutan bagi meningkatkan mutu kerja.
4. Memberikan latihan perniagaan dan perdagangan bagi melahirkan usahawan yang progresif.


PIAGAM PELANGGAN


Prestasi Piagam Pelanggan

1.Memastikan sekurang-kurangya 80% pelajar berjaya menamatkan latihan dalam kursus yang diikuti.

2.Memastikan 83% pelajar mendapat pekerjaan dalam tempoh 6 bulan selepas tamat latihan.

3.Memastikan aduan awam yang diterima diberi maklumbalas dalam tempoh 3 hari bekerja.

4.Menjelaskan bayaran kepada pembekal dalam tempoh 14 hari dengan syarat dokumen yang dikemukakan adalah lengkap.

5.Memastikan program kerohanian dan jati diri dilaksanakan sekurang-kurangnya 20 kali setiap bulan.

 

SYARAT

UMUM

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Boleh membaca dan menulis.
  3. Berusia di antara 18 - 30 tahun semasa memohon dan berkelulusan sekurang-kurangnya Tamat Tingkatan 5.
  4. Belum berkahwin @ bujang.
  5. Sihat tubuh badan.
  6. Tidak pernah melakukan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan najis dadah.
  7. Belum pernah mengikuti latihan kemahiran di mana-mana Institut Latihan Awam/Swasta (KECUALI calon yang mempunyai sijil lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) & Sijil Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk menyambung pelajaran).
  8. Sanggup menjalani latihan sehingga tamat dan dikehendaki mengikut segala peraturan yang telah, sedang dan akan ditetapkan.
  9. Pemohon yang sedang menjalani latihan dimana-mana institut latihan kemahiran dan belum tamat latihan/belum memperolehi sijil ketrampilan SKM tahap 2/3 atau 3/4 tidak dibenarkan memohon untuk tahap selanjutnya.
  10. Pemohon yang tidak tamat latihan / disingkir dari mengikuti latihan dari mana-mana Institut Latihan Awam lain tidak dibenarkan memohon.
 
Find us on Facebook
Follow Us