IKBN



PEKAN

 
Rate this item
(0 votes)

PERUTUSAN SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI 1439H/2018

PENGARAH IKBN PEKAN, PAHANG

 

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah Hil Hamd.

 

1. Alhamdulillah, marilah kita menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan hidayah dan keizinan-Nya jua sekali lagi pada tahun ini kita dapat menyempurnakan ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri yang mulia dalam suasana harmoni dan sejahtera. Di mana sahaja umat Islam berada, pasti akan merasai getaran takbir menyentuh jiwa mengagungkan kebesaran Illahi.

 

2. Bersempena bulan Syawal yang mulia ini, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga IKBN Pekan kakitangan dan pelajar. Aidilfitri adalah hari kita menyambut kemenangan dan sebagai ganjaran kepada mereka yang sabar dan taat beribadah sepanjang berada di madrasah Ramadan.

 

3. Kemenangan ini lebih besar ertinya bila kita berjaya melaksanakan perubahan diri ke arah menjadi insan yang berakhlak mulia dan mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi sesuai dengan peranan kita sebagai pembimbing dan menjadi contoh terbaik kepada insan-insan yang kita didik dan latih. Sesungguhnya peranan setiap daripada kita bukanlah ‘sesuatu yang kecil’ sebaliknya sebesar-besar tanggungjawab yang perlu kita galas bersama. Di bahu kita terletaknya harapan Ibu bapa dan pihak Kementerian Belia Dan Sukan agar kita dapat melaksanakan hasrat yang diamanahkan kepada kita.

 

4. Sebagai warga IKBN Pekan, tanamlah rasa keinsafan dan pupuklah azam serta kesungguhan dalam diri kita untuk menuju ke arah yang lebih baik. Sesungguhnya kita lebih beruntung dan bertuah kerana masih dapat mengecapi kehidupan yang jauh lebih sempurna dan selesa. Sebagai pegawai dan kakitangan IKBN Pekan yang bertanggungjawab melatih dan mendidik pelajar-pelajar, kita hendaklah sentiasa menjaga keperibadian diri, berintegriti dan berdisiplin dalam melaksanakan tugas.

 

5. Sambil kita bergembira di hari raya, teruskanlah tradisi ziarah-menziarahi yang selama ini menjadi amalan kita. Runtuhkanlah ‘tembok prasangka’ dan bukalah seluas-luasnya pintu rumah dan pintu hati kita untuk menerima kunjungan rakan-rakan dari pelbagai latar belakang tanpa mengira umur, pangkat dan kaum. Ambillah peluang pertemuan di bulan yang penuh barakah ini sebagai medan saling bermaafan antara satu sama lain. Anggaplah kehadiran Aidilfitri ini umpama biduk yang menautkan kembali kiambang di permukaan tasik. Malah sifat kekeluargaan yang dibentuk dengan erat sesama kita amat penting dalam membentuk kerukunan perhubungan serta kerjasama yang amat diperlukan demi mencapai misi jabatan.

 

6. Malah saya sentiasa percaya kita semua telah menjadi satu keluarga yang sentiasa menjaga kepentingan, kebajikan dan keperluan keluarga yang lain. InsyaAllah di atas sokongan semua warga kerja IKBN Pekan sama ada pengajar, pegawai dan kakitangan saya berharap Syawal yang menjelang tiba bakal menjadi garis permulaan kepada kejayaan yang lebih besar. Saya percaya hari yang mulia ini memberi ruang kepada kita semua untuk merapatkan lagi jalinan ukhuwah sesama kita yang menjadi asas kepada kejayaan IKBN Pekan sebagai sebuah Institusi Latihan Kemahiran Awam yang berjaya.

 

7. Kepada semua warga IKBN Pekan yang akan pulang ke kampung halaman berhari raya, rancanglah perjalanan dengan baik dan pastikan periksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Patuhilah undang-undang lalulintas, pandu dengan cermat dan waspada bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini. Semoga kita semua selamat sampai ke destinasi masing-masing dan selamat kembali ke tempat bertugas.

 

Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidilfitri 1439 Hijriah, Maaf Zahir dan Batin.

 

  

(YUSOP BIN IBRAHIM)
 
 
Pengarah IKBN Pekan
 
 
Read 196 times Last modified on Selasa, 12 June 2018 02:34
 
Find us on Facebook
Follow Us