- Mohamad Zohari
- IKTBN Chembong
- Hits: 18
40 Pelajar SMK Pertang Sertainya Program 'Try A Skills' di IKTBN Chembong
CHEMBONG, 12 Jun – Seramai 40 orang pelajar Tingkatan Tiga dan Empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pertang telah menyertai program lawatan pendidikan 'Try A Skills' di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong, kelmarin.
Program yang diiringi oleh empat orang guru itu bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para pelajar mengenai dunia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pengalaman praktikal secara langsung (hands-on).
Jurucakap IKTBN Chembong berkata, pihaknya amat berbesar hati menerima kunjungan tersebut yang dilihat mampu membuka minda generasi muda terhadap prospek masa depan dalam bidang kemahiran.
"Sepanjang lawatan, para pelajar dan guru pengiring telah diberikan taklimat pengenalan mengenai laluan latihan dan kerjaya di IKTBN Chembong. Sesi perkongsian maklumat tersebut telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP), En. Azwade, serta En. Khairul Nizam daripada Cawangan Hubungan Industri (CHI)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pengalaman Praktikal di Bengkel
Menurut kenyataan itu lagi, pengisian utama program menyaksikan para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi menyertai aktiviti 'Try A Skills'.
Menerusi aktiviti tersebut, pelajar berpeluang merasai sendiri pengalaman mengendalikan tugasan kemahiran secara praktikal di dua lokasi utama iaitu Bengkel Teknologi Automotif dan Bengkel Teknologi Awam.
Sementara itu, pihak pengurusan IKTBN Chembong turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan SMK Pertang atas kesudian memilih institusi berkenaan sebagai destinasi lawatan pendidikan.
Pihak institut berharap agar ilmu dan pengalaman baharu yang ditimba sepanjang program tersebut dapat memberi manfaat, sekali gus menyuntik semangat para pelajar untuk menceburi bidang kemahiran pada masa hadapan.
