- Mohamad Zohari
- IKTBN Chembong
- Hits: 8
IKTBN Chembong anjur kursus perpaipan percuma perkasakan pelajar tahfiz
REMBAU: Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong mengambil langkah proaktif memerkasakan golongan belia apabila menganjurkan Program Future Youth Skills: Kursus Basic Home Plumbing 2026, khusus buat pelajar tahfiz di sekitar daerah ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Julai lalu di Bengkel TPPSC IKTBN Chembong itu disertai seramai 20 pelajar tahfiz bagi memberi pendedahan awal dan kemahiran asas perpaipan domestik.
Pengajar program, Amniraze Hamzah berkata, penganjuran kursus itu dirangka secara berstruktur menggabungkan silibus teori dan latihan amali (hands-on) bagi memastikan peserta mendapat pemahaman yang menyeluruh.
Menurutnya, menerusi fasa teori pada hari pertama dan kedua, peserta didedahkan dengan pengenalan asas aspek keselamatan bengkel, sistem perpaipan domestik serta jenis dan saiz paip air yang betul.
"Memasuki fasa amali pada hari kedua dan ketiga pula, peserta terus mengaplikasikan kefahaman teori menerusi sesi amali perpaipan domestik secara berkesan.
"Mereka dilatih dengan kemahiran memotong, mengukur dan membuat penyambungan paip (fittings) dengan tepat bagi memastikan sistem perpaipan berfungsi sempurna tanpa sebarang kebocoran," katanya di sini.
Beliau berkata, inisiatif itu memberi nilai tambah yang amat signifikan kepada peserta dalam membina keyakinan dan keupayaan kendiri untuk menjalankan kerja penyelenggaraan serta pembaikan asas perpaipan di rumah mahupun pusat tahfiz masing-masing.
Pendedahan praktikal berkenaan secara tidak langsung dapat melahirkan modal insan belia yang berdaya saing, berdikari dan serba boleh sejajar dengan pemerkasaan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Pihak pengurusan IKTBN Chembong turut menzahirkan penghargaan atas komitmen barisan tenaga pengajar dan urusetia yang menjayakan program berkenaan dan berharap ilmu dipelajari memberi manfaat berpanjangan kepada semua peserta.
