- Mohamad Zohari
- IKTBN Chembong
- Hits: 39
IKTBN Chembong Sertai Karnival Kerjaya dan Kemahiran 2026, Promosi Inovasi Belia
BUKIT JALIL, 3 Mei – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong terus proaktif memperkasakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penyertaan dalam Karnival Kerjaya & Kemahiran sempena Hari Pekerja 2026 yang melabuhkan tirainya di Unifi Arena, hari ini.
Karnival tiga hari anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui portal MYFutureJobs itu menjadi tumpuan ribuan pencari kerja dengan kehadiran lebih 30 majikan terkemuka yang menawarkan pelbagai peluang kerjaya dan latihan peningkatan kemahiran.
Delegasi IKTBN Chembong yang terdiri daripada tiga pegawai, En. Md Azhar Bin Parlan, En. Fikri Sham Bin Basari dan En. Mohd Yazid Bin Aziz bersama dua pelajar, telah mengambil peluang tersebut untuk mempromosikan kebolehpasaran graduan institusi berkenaan kepada pihak industri dan orang awam.
Tonjol Hasil Inovasi
Reruai pameran IKTBN Chembong menarik perhatian pengunjung menerusi demonstrasi projek inovasi hasil tangan pelajar sendiri, yang membuktikan kompetensi tinggi pelatih dalam mendepani cabaran teknologi masa kini.
Selain pameran inovasi, sesi konsultasi mengenai promosi kemasukan ke Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) serta penawaran Kursus Jangka Pendek 2026 turut diadakan bagi memberi peluang kepada belia meningkatkan kemahiran teknikal mereka.
Platform Strategik
Menurut kenyataan IKTBN Chembong, penyertaan dalam karnival berskala besar ini merupakan platform strategik untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai potensi besar kerjaya dalam bidang teknikal yang ditawarkan di institusi tersebut.
"Penyertaan ini membolehkan pengunjung mengenali dengan lebih dekat program latihan kemahiran yang relevan dengan kehendak pasaran kerja semasa," jelas kenyataan itu.
Pihak institusi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan tersebut, yang disifatkan sebagai langkah efektif dalam merapatkan jurang antara penyedia latihan kemahiran dan pemain industri di Malaysia.
