- Siti Hajar
- IKTBN Sepang
- Hits: 63
LAWATAN PENDEDAHAN TVET DELEGASI CHINA PERKUKUH JALINAN KERJASAMA ANTARA MALAYSIA DAN CHINA
Sepang – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang telah menerima kunjungan delegasi sempena 3rd Malaysia-China International Industry-Education Collaboration (MCIEF) 2026 yang berlangsung bersempena sambutan Hari TVET Negara Tahun 2026. Ketibaan delegasi telah disambut dengan penuh meriah melalui persembahan tarian tradisional oleh pelajar Kelab Kebudayaan IKTBN Sepang, yang menampilkan keunikan warisan budaya Malaysia serta mencerminkan semangat patriotik warga institut dalam meraikan tetamu antarabangsa.
Program diteruskan dengan sesi taklimat berkaitan pelaksanaan dan pemerkasaan TVET di IKTBN Sepang, merangkumi pendekatan latihan berasaskan industri, pembangunan kompetensi pelajar serta usaha institusi dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan. Delegasi turut dibawa melawat fasiliti latihan di Bengkel Mekanikal Polimer dan Bengkel Teknologi Elektronik, bagi melihat secara lebih dekat kemudahan pembelajaran, projek inovasi pelajar serta pelaksanaan latihan kemahiran yang mengintegrasikan teknologi terkini dan keperluan industri global.
Lawatan ini bukan sahaja membuka ruang perkongsian amalan terbaik antara institusi, malah menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa antara Malaysia dan China dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET). Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada seluruh Jawatankuasa Pelaksana IKTBN Sepang atas komitmen, dedikasi serta kerjasama yang cemerlang dalam memastikan kelancaran program dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan.
Kejayaan program ini membuktikan kesungguhan warga IKTBN Sepang dalam mengangkat kecemerlangan TVET ke peringkat antarabangsa.
#IKTBNSepang
#MCIEF2026
#HariTVETNegara2026
#tvetmalaysia
