- Siti Hajar
- IKTBN Sepang
- Hits: 62
PELAJAR IKTBN SEPANG CIPTA SEJARAH, DIBERI PENGHORMATAN MEMIMPIN IKRAR RUKUN NEGARA SEMPENA HARI TVET NEGARA 2026
PUTRAJAYA – Satu detik penuh bersejarah dan membanggakan telah tercipta apabila seramai 11 orang pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang daripada pelbagai kursus telah diberi penghormatan istimewa untuk mengetuai bacaan Ikrar Rukun Negara sempena Majlis Peluncuran Hari TVET Negara 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 7 Jun 2026 di Putrajaya.
Kumpulan pelajar tersebut diketuai oleh Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IKTBN Sepang, Saudara Mohd Aisar Bin Muhamad, yang telah memimpin bacaan ikrar di hadapan barisan kepimpinan tertinggi negara serta ribuan warga TVET dari seluruh Malaysia. Pemilihan pelajar IKTBN Sepang untuk menggalas amanah besar ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna dan membanggakan, sekali gus membuktikan kepercayaan serta keyakinan yang diberikan kepada institusi ini dalam melahirkan pelajar TVET yang berwibawa, berdisiplin dan berjiwa kepimpinan.
Lebih istimewa, mereka bukan sahaja mewakili IKTBN Sepang, malah membawa suara serta aspirasi seluruh pelajar TVET Malaysia dalam majlis berprestij peringkat kebangsaan tersebut. Majlis Peluncuran Hari TVET Negara 2026 telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir ialah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia serta Yang Berhormat Dr. Mohamad Taufik Johari, Menteri Belia dan Sukan.
Penyertaan serta penglibatan pelajar IKTBN Sepang dalam acara bersejarah ini menjadi simbol kecemerlangan institusi dalam memperkasakan agenda TVET negara, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten, berdaya saing dan berimpak tinggi di peringkat global.
#iktbnsepang
#tvetilkbs
#haritvetnegara2026
