Projek pembangunan Institut Kemahiran Belia Negara Seri Iskandar (IKBNSI) mula dirancang pada awal tahun 1996 di atas tapak bernombor PT 2497 seluas 52 ekar di Bandar Seri Iskandar, Daerah Perak Tengah. Lokasinya terletak kira-kira 36 kilometer dari Bandaraya Ipoh, berhampiran Lebuhraya Ipoh–Lumut, bersebelahan dengan kawasan TLDM Komunikasi. Kerja-kerja pembinaan bermula pada 30 Jun 1996 dan siap sepenuhnya pada 15 September 1998. Institut ini merupakan salah sebuah institusi latihan kemahiran di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS). IKBNSI memulakan operasinya pada 25 Januari 1999 dan seterusnya telah dirasmikan pada 11 November 1999 oleh YBhg. Dato’ Haji Mohamad Zabri bin Min, Ketua Setiausaha KBS ketika itu, yang mewakili YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Yassin, Menteri Belia dan Sukan Malaysia.
Aktiviti latihan kemahiran di institut ini dijalankan mengikut standard yang ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK). Selaras dengan perkembangan masa depan, bidang latihan turut diperluas, termasuk Teknologi Maklumat dengan dua jurusan utama iaitu Multimedia Pengarangan dan Rangkaian Komputer.