
- Syilasiyah binti Mohd Ridhwan
- IKBN Kemasik
- Hits: 18
FIESTA RAKAN MUDA PERINGKAT KEBANGSAAN SERLAH BAKAT DAN POTENSI BELIA
Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) KEMASIK telah dijemput untuk mempamerkan bakat seni Rakan Muda dalam Fiesta Rakan Muda Peringkat Kebangsaan, suatu platform yang bertujuan menyerlahkan bakat dan potensi terkini dalam kalangan belia.
Majlis penutupan program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Cawangan Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Puan Azura Haji Sarbin. Kehadiran beliau menyerikan lagi majlis dan menunjukkan sokongan padu kementerian terhadap program pembangunan belia. Turut hadir sama ialah Wakil dari IKBN KEMASIK, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, En. Rahmat bin Elli.
Program yang berlangsung penuh semangat itu bukan sekadar memenuhi objektif Rakan Muda untuk membangunkan modal insan belia yang holistik, malah berjaya menarik penyertaan meluas. Antara tarikan utama fiesta ini ialah persembahan yang disampaikan oleh kumpulan ternama IKBN KEMASIK, iaitu Kemasik Acoustic.
Persembahan kumpulan Kemasik Acoustic berjaya memukau para hadirin termasuk para tetamu kehormat dengan lagu-lagu pilihan yang dipersembahkan secara akustik, sekaligus menunjukkan bakat seni dan kreativiti yang dimiliki oleh para pelajar. Persembahan mereka menambah seri dan kemeriahan suasana, di samping membuktikan bahawa bakat muda perlu diberikan ruang dan galakan untuk berkembang.
Melalui fiesta ini, SRM IKBN KEMASIK berhasrat memberi pengalaman praktikal kepada para belia dalam menganjurkan program berskala kebangsaan, di samping menggilap bakat mereka dalam pelbagai bidang seperti pengurusan acara, seni persembahan, dan kepimpinan.
Dengan kejayaan program ini, diharapkan ia dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif positif yang mampu melahirkan belia yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga kreatif, berdaya saing dan penuh keyakinan diri.