- Syilasiyah binti Mohd Ridhwan
- IKBN Kemasik
- Hits: 125
PROGRAM KECEMERLANGAN SUKAN IKBN KEMASIK SEMPENA SAMBUTAN HARI SUKAN NEGARA 2025
Kemasik, Kemaman – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik telah mengukir satu lagi kejayaan besar dengan menganjurkan Program Kecemerlangan Sukan sempena Sambutan Hari Sukan Negara 2025 yang berlangsung dengan meriah dan penuh semangat .
Program yang bertemakan sukan untuk semua itu berjaya menarik penyertaan meluas dalam kalangan pelajar dan kakitangan IKBN Kemasik. Suasana padang dan dewan di IKBN Kemasik menjadi saksi kepada gelora semangat kesukanan yang tinggi, diselang-seli dengan bunyi sorakan dan dorongan yang mengisi ruang udara.
Objektif utama program ini adalah untuk mengenal pasti bakat para peserta dalam bidang sukan, di samping mengamalkan gaya hidup sihat bagi melahirkan pelajar dan kakitangan yang aktif dan cergas. Selain itu, program ini juga berhasrat untuk meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan warga IKBN melalui aktiviti yang sihat, menyeronokkan dan kompetitif.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan dengan rasminya oleh Pengarah IKBN Kemasik, YBhg. Norlia Bt Abdullah, di Dewan Sri Suria. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan budaya sukan dalam membentuk disiplin, kerjasama pasukan dan jati diri yang kukuh dalam kalangan belia.
“Program seumpama ini bukan sekadar untuk meraih kemenangan, tetapi yang lebih penting adalah memupuk nilai-nilai murni, persahabatan dan semangat kesukanan dalam kalangan kita semua. Ia selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang sihat, produktif dan bersemangat waja,” ujarnya.
Sebagai menambah seri dan kemeriahan program, pihak penganjur telah menyediakan beberapa aktiviti selingan yang menarik iaitu Roadshow Honor of Kings (HOK) yang ditaja sepenuhnya oleh jenama MAGGI. Roadshow ini berjaya menjadi tumpuan utama peserta yang terdiri daripada peminat e-sukan.
Penyertaan bagi setiap acara sukan yang dipertandingkan seperti futsal, bola tampar,bola jaring, e-sukan(PUBG) dan sukaneka. Kejayaan program ini turut disokong oleh komitmen dan dorongan padu daripada tenaga pengajar IKBN Kemasik sendiri dalam memastikan kejayaan dan kelancaran program ini.
Dengan kejayaan program ini, diharapkan ia dapat menjadi pemangkin kepada pengwujudan budaya sukan yang lebih kukuh di IKBN Kemasik dan melahirkan atlet-atlet berpotensi yang suatu hari nanti boleh mengharumkan nama institusi dan negara.
