- Siti Habsah binti Zainol
- IKBN Naka
- Hits: 68
BUSANA FUN RUN IKBN NAKA 2026 MERIAHKAN SAMBUTAN PROGRAM HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA
Naka, 1 September 2026 – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka telah menganjurkan Busana Fun Run IKBN Naka 2026 yang berlangsung pada 1 September 2026, jam 8.00 pagi bertempat di IKBN Naka.
Program ini merupakan anjuran Jabatan Pengajian Umum (JPU) IKBN Naka 2026 dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IKBN Naka serta Manies Club. Program dianjurkan sempena sambutan hari kebangsaan kali ke-69 dan Hari Malaysia yang disambut setiap tahun.
Menariknya, program ini mengetengahkan konsep lari santai dengan busana tradisional, sekali gus memberikan kelainan kepada aktiviti kecergasan yang dilaksanakan dalam suasana santai, ceria dan penuh kemeriahan.
Peserta terdiri daripada pelajar lelaki, pelajar perempuan dan staf, selain turut membuka ruang kepada peserta untuk menyerlahkan kreativiti melalui kategori Busana Terbaik.
Sebagai sebahagian daripada penyertaan, peserta dikehendaki berpakaian tradisional dan memuat turun aplikasi Strava bagi menyokong pelaksanaan aktiviti larian serta rekod penyertaan secara digital.
Program turut menyediakan sijil penyertaan kepada peserta yang mengambil bahagian.
Penganjuran Busana Fun Run KKM IKBN Naka 2026 bukan sahaja memberi peluang kepada warga IKBN Naka untuk mengamalkan gaya hidup aktif, malah menjadi platform untuk memupuk semangat kebersamaan, kerjasama, kreativiti dan penghargaan terhadap busana serta budaya tradisional dalam kalangan warga institut.
Dengan penglibatan pelajar dan staf secara bersama, program seumpama ini diharapkan dapat terus diperkasakan sebagai salah satu aktiviti yang menggabungkan kecergasan, perpaduan dan identiti budaya dalam persekitaran pendidikan TVET.
