Majlis Penutup Program Latihan Kemahiran Vokasiona

    Majlis Penutup Program Latihan Kemahiran Vokasiona

    26 OKTTOBER 2025 | BERTAM: Majlis Penutup Program Latihan Kemahiran Vokasional anjuran bersama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Latihan AADK Bertam, hari ini.
    Majlis tersebut diadakan khusus bagi meraikan 20 orang peserta (klien) yang telah berjaya melengkapkan dua siri latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) secara intensif dalam bidang Pemanasan, Pengudaraan dan Penyaman Udara (HVAC). Program pemindahan kemahiran ini telah dikendalikan secara langsung oleh tiga orang tenaga pengajar pakar dari IKBN Naka. Ia turut dibantu oleh lima orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar semester tiga bidang HVAC bagi memastikan setiap klien menguasai modul teknikal yang ditetapkan.
    Dalam ucaptama majlis tersebut, Pengarah AADK Pulau Pinang, Puan Roswati bt. Apin, menyambut baik dan sangat mengalu-alukan pelaksanaan program seumpama ini. Beliau menekankan bahawa inisiatif kemahiran berteraskan TVET memainkan peranan besar dalam membantu klien yang sedang menjalani proses pemulihan untuk membina semula keyakinan dan masa depan mereka. Beliau turut berpendapat bahawa bidang TVET pada masa kini menjanjikan peluang kerjaya yang meluas serta pulangan pendapatan yang sangat memuaskan di pasaran kerja.
    Beliau kemudiannya mengakhiri ucapan dengan merasmikan penutupan Program Latihan Kemahiran Vokasional IKBN Naka dan AADK Pulau Pinang, sekali gus membuka lembaran baharu buat para peserta untuk mengaplikasikan kemahiran yang telah dipelajari kembali ke pangkuan masyarakat. Turut sama hadir Ketua Jabatan Teknologi Elektrik (JTE IKBN NAKA) En. Rostinor b. Rosli yang juga merupakan tunjang serta penyelaras kepada program ini. Pihak Cawangan Hubungan Industri (CHI) IKBN Naka mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua yang terlibat.

    Institut Kemahiran Belia Negara Naka
    Mukim Tekai, Pekan Naka,
    Kedah, Malaysia

    No Tel : 04 - 7993000
    No Faks : 04 - 7851269
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.