IKTBN BUKIT MERTAJAM TERIMA LAWATAN PENTAULIAHAN JPK BAGI PROGRAM OPERASI DAN PENYELENGGARAAN SISTEM SOLAR PHOTOVOLTAIC (PV)

    IKTBN BUKIT MERTAJAM TERIMA LAWATAN PENTAULIAHAN JPK BAGI PROGRAM OPERASI DAN PENYELENGGARAAN SISTEM SOLAR PHOTOVOLTAIC (PV)

    BUKIT MERTAJAM, 10 NOVEMBER 2026 — Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam telah menerima Lawatan Pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia bagi cadangan penambahan program Operasi dan Penyelenggaraan Sistem Solar Photovoltaic (PV) [Kod F432-009-3:2021, Tahap 3] di bawah Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).

    Inisiatif ini merupakan langkah strategik penting dalam usaha IKTBN Bukit Mertajam untuk mencatat sejarah sebagai institut latihan awam pertama yang memperoleh pentauliahan rasmi bagi program berkenaan, tertakluk kepada penilaian dan kelulusan rasmi pihak JPK. Sesi penilaian tersebut turut dihadiri oleh Pengarah IKTBN Bukit Mertajam, Puan Meena a/p Ramalingam, bersama-sama barisan pengurusan, pegawai, dan tenaga pengajar institut.

    Sesi lawatan pentauliahan tersebut merangkumi serangkaian aktiviti penilaian komprehensif, termasuk pembentangan pelaksanaan program latihan, semakan ketat dokumentasi pentauliahan, serta pemeriksaan fizikal ke atas bengkel, peralatan, dan fasiliti latihan. Panel penilai JPK turut menilai aspek keselamatan persekitaran pembelajaran serta mengadakan perbincangan teknikal secara mendalam bersama pihak pengurusan dan tenaga pengajar.

    Penganjuran program baharu ini mencerminkan komitmen berterusan IKTBN Bukit Mertajam dalam memperkukuh penawaran latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang relevan dengan kepesatan teknologi semasa. Pembangunan kemahiran dalam sektor tenaga boleh baharu ini dijangka bakal membuka lebih banyak peluang latihan kemahiran khusus, sekali gus menyokong agenda pembangunan tenaga hijau dan kelestarian negara.

    Pihak pengurusan IKTBN Bukit Mertajam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan panel penilai JPK atas pandangan profesional dan perkongsian kepakaran yang diberikan. Ucapan terima kasih dan syabas turut diberikan kepada Pengarah, Puan Meena a/p Ramalingam, barisan pengurusan, serta seluruh warga kerja IKTBN Bukit Mertajam atas komitmen dan kerjasama berpasukan dalam memastikan kelancaran lawatan pentauliahan ini, selaras dengan slogan institut iaitu "Memperkasa Kemahiran, Memacu Masa Hadapan!".

    Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Bukit Mertajam,
    Jalan Berapit ,14000 Bukit Mertajam ,Pulau Pinang.

    No Telefon    : 04-5225288                         
    No Faksimili    : 04522528