- Mohamad Zohari
- IKTBN Chembong
- Hits: 27
IKTBN Chembong Teroka Teknologi Kren, Perkukuh Hubungan Industri
CHEMBONG, 27 April – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong terus komited memperkasakan graduan masa hadapan menerusi penganjuran lawatan industri ke syarikat pengeluar kren global, Favelle Favco Cranes (M) Sdn. Bhd., di Senawang, baru-baru ini.
Program yang melibatkan 14 pelajar daripada Kursus Kren Menara serta Kursus Scaffolding (Perancah) dari Jabatan Teknologi Awam itu bertujuan merapatkan jurang antara teori di bilik kuliah dengan realiti operasi di lapangan industri.
Ketua delegasi bersama enam pegawai pengiring menyifatkan lawatan ke premis yang terletak di Kawasan Industrial Park, Seremban itu sebagai platform terbaik bagi pelajar melihat sendiri penggunaan teknologi canggih serta prosedur keselamatan kerja yang ketat.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan IKTBN Chembong, pendedahan sedemikian amat kritikal dalam membina mentaliti profesional pelajar sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan sebenar.
"Melalui lawatan ini, pelajar dapat memahami aspek pengendalian jentera dan pengurusan tapak bertaraf industri. Ia bukan sekadar soal kemahiran teknikal, malah penerapan budaya kerja berdisiplin yang diamalkan oleh syarikat besar seperti Favelle Favco," kata kenyataan itu.
Selain meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran insaniah pelajar, program berkenaan juga menjadi medium bagi IKTBN Chembong untuk mengukuhkan kerjasama strategik dengan pihak industri.
Langkah ini selari dengan usaha institusi untuk memastikan silibus latihan yang diberikan kekal relevan dengan kehendak pasaran semasa, sekali gus menjamin kebolehpasaran graduan dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan berat di Malaysia.
