Program PKI dedah pengajar kemahiran kepada teknologi industri terkini

    Program PKI dedah pengajar kemahiran kepada teknologi industri terkini

    REMBAU, 21 Mei - Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong mengambil langkah proaktif memperkasakan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) menerusi penganjuran Program Perkongsian Kepakaran Industri (PKI), di sini semalam.

    Program yang berlangsung di Bengkel Teknologi Kenderaan Perdagangan itu memfokuskan kepada Seminar Teknologi Virtual Learning Welding dan Spray Painting Simulator.

    Jurucakap IKTBN Chembong berkata, pendedahan kepada teknologi pembelajaran maya itu penting bagi memberi gambaran sebenar kepada warga institut mengenai kemajuan teknologi dalam sektor industri terkini.

    "Sesi yang dibawakan khas oleh rakan industri, Syarikat Darultek Instrument Sdn Bhd itu memberi pendedahan komprehensif merangkumi sesi teori serta latihan amali menggunakan teknologi simulator berkenaan.

    "Melalui platform ini, ia diharap dapat melonjakkan lagi kualiti PdP tenaga pengajar selaras dengan perkembangan teknologi semasa yang semakin pesat," katanya dalam satu kenyataan.

    Perkongsian ilmu berimpak tinggi itu membabitkan penyertaan 49 peserta yang terdiri daripada 13 pengajar IKTBN Chembong, Kolej Vokasional Port Dickson (30), Kolej Tafe (tiga), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) JTM Kampus Pedas (dua) dan seorang jurulatih Toyota.

    Menurut kenyataan itu, pihak IKTBN Chembong turut merakamkan penghargaan kepada Syarikat Darultek Instrument Sdn Bhd atas perkongsian kepakaran dan pengalaman bernilai tersebut.

    "Semoga jalinan kolaborasi strategik bersama pihak industri ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi memartabatkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara," katanya.


    Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Chembong
    71300 Rembau,
    Negeri Sembilan Darul Khusus.

    No.telefon: 06-6857900
    No.faks: 06-6857989
    Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.