- Mohamad Zohari
- IKTBN Chembong
- Hits: 26
Weng Heng Auto Repair Teroka Kerjasama Strategik Industri Baikpulih Badan Kenderaan
CHEMBONG, 8 Julai 2026 — Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong hari ini mengadakan sesi perbincangan bersama Weng Heng Auto Repair Sdn. Bhd. bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam bidang latihan industri dan penempatan pelajar, khususnya melibatkan bidang Semburan Cat dan Pembaikan Panel Kenderaan.
Sesi perbincangan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan kemahiran dan pihak industri dalam usaha menyediakan peluang latihan yang lebih berkualiti kepada pelajar, selain memastikan graduan bidang Teknologi Automotif memiliki kemahiran yang selari dengan keperluan semasa pasaran kerja.
Delegasi IKTBN Chembong diketuai oleh Ketua Jabatan Teknologi Automotif, Encik Hizbullah Ibrahim; Ketua Bahagian Pengetukan Panel & Semburan Cat, Encik Amnizare Hamzah; serta Ketua Cawangan Hal Ehwal Industri (KCHI), Encik Md Azhar Parlan.
Sementara itu, pihak Weng Heng Auto Repair Sdn. Bhd. diketuai oleh Workshop Manager, Encik Ray Chan, bersama Supervisor Body & Paint, Encik Nadari, serta turut disertai Puan Salwani selaku rakan kerjasama P10X.
Perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada peluang kolaborasi dalam penyediaan platform latihan industri, pendedahan teknologi terkini serta penempatan pelajar bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan TVET.
Kerjasama antara IKTBN Chembong dan Weng Heng Auto Repair Sdn. Bhd. ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada hubungan lebih erat antara institusi TVET dan industri automotif, sekali gus menyumbang kepada usaha melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi kehendak industri masa kini.
