Tingkat Kompetensi Pelajar Melalui Peralatan Baharu Teknologi EV

    Tingkat Kompetensi Pelajar Melalui Peralatan Baharu Teknologi EV

    CHEMBONG, 7 Julai – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong terus memperkukuh kompetensi tenaga pengajarnya menerusi penganjuran sesi penerimaan dan latihan penggunaan peralatan teknologi kenderaan elektrik (EV) dengan kerjasama Jua Jasa Sdn. Bhd. yang berlangsung selama dua hari di Makmal Hibrid dan EV, Bengkel Teknologi Kenderaan Motor.

    Program yang diadakan pada 6 hingga 7 Julai itu melibatkan lima orang tenaga pengajar yang mengikuti latihan pengendalian dua peralatan utama iaitu EV Battery Balancer dan EV Battery Discharge/Charger, selaras dengan perkembangan pesat teknologi kenderaan elektrik dalam industri automotif.

    Sepanjang latihan, para peserta didedahkan kepada kaedah pengoperasian, penyelenggaraan dan aplikasi kedua-dua peralatan berteknologi tinggi tersebut. EV Battery Balancer berfungsi mengimbangi voltan antara sel bateri bagi memastikan prestasi optimum serta memanjangkan jangka hayat bateri voltan tinggi, manakala EV Battery Discharge/Charger digunakan untuk proses pengecasan dan pengosongan tenaga secara terkawal bagi tujuan diagnostik, penyelenggaraan dan simulasi kitaran hayat bateri.

    Perolehan peralatan serta latihan yang dilaksanakan mencerminkan komitmen IKTBN Chembong dalam memastikan tenaga pengajar sentiasa menguasai teknologi semasa yang selari dengan keperluan industri automotif hijau. Kemahiran yang diperoleh bukan sahaja akan dimanfaatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, malah menjadi nilai tambah dalam pelaksanaan kursus jangka pendek berkaitan teknologi EV kepada komuniti serta pihak industri.

    Kerjasama strategik bersama Jua Jasa Sdn. Bhd. turut memperlihatkan kepentingan kolaborasi antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan sektor industri dalam memperkukuh ekosistem pembangunan modal insan negara. Inisiatif seperti ini diyakini mampu meningkatkan kualiti latihan, memperkasa kompetensi tenaga pengajar dan melahirkan graduan yang bersedia memenuhi keperluan industri kenderaan elektrik yang semakin berkembang.

    Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Chembong
    71300 Rembau,
    Negeri Sembilan Darul Khusus.

    No.telefon: 06-6857900
    No.faks: 06-6857989
    Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.