
Bangi, 20 September 2025 – Bangi Avenue Convention Center hari ini menjadi saksi kepada majlis gilang-gemilang apabila berlangsungnya Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) 2025. Majlis ini menghimpunkan para graduan daripada pelbagai institut di bawah ILKBS seluruh negara bagi meraikan kejayaan mereka menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.
Suasana penuh meriah dan berprestij itu turut diserikan dengan kehadiran ibu bapa, keluarga graduan serta tetamu kehormat. Konvokesyen ini bukan sahaja mengiktiraf pencapaian para graduan, malah menzahirkan peranan ILKBS sebagai institusi penting dalam melahirkan tenaga mahir belia negara yang berdaya saing, seiring dengan keperluan industri.
Antara sorotan utama majlis kali ini adalah kejayaan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh, yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengurusan Latihan Terbaik ILKBS 2025 bagi bidang Teknologi Automotif. Pengiktirafan ini membuktikan komitmen IKTBN Temerloh dalam melaksanakan pengurusan latihan berkualiti tinggi serta menghasilkan graduan yang kompeten dan memenuhi permintaan pasaran kerja.
Penyampaian anugerah berprestij itu telah disempurnakan oleh YB Adam Adli, Tim. Menteri Belia dan Sukan Malaysia, yang turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua graduan dan institusi di bawah ILKBS. Beliau menekankan bahawa kejayaan ini adalah hasil usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh bidang latihan kemahiran sebagai pemacu pembangunan negara.
Dengan penganugerahan ini, IKTBN Temerloh terus mengukuhkan reputasinya sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang teknologi automotif, sekaligus menjadi inspirasi kepada ILKBS lain untuk terus meningkatkan mutu pengurusan latihan serta kualiti graduan.