PROGRAM BELIA UNTUK BELIA PERINGKAT DAERAH TEMERLOH TAHUN 2026
LANCHANG, 30 September 2026 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Temerloh dengan kerjasama Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh telah menganjurkan Program Belia Untuk Belia bertempat di Auditorium IKTBN Temerloh pada 29 September 2026.
Program yang melibatkan seramai 50 orang pelajar IKTBN Temerloh ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia mengenai bahaya serta implikasi penglibatan dalam masalah sosial, di samping memupuk sikap bertanggungjawab dan menggalakkan golongan belia membuat pilihan yang positif dalam kehidupan.
Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian dan penerangan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Temerloh yang memberikan pendedahan kepada para peserta berkaitan isu sosial, pencegahan jenayah dan bahaya penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia.
Dalam sesi bersama PDRM, para peserta turut diberikan penerangan mengenai ancaman penipuan dalam talian atau scammer yang semakin menyasarkan pengguna daripada pelbagai peringkat umur, termasuk golongan belia. Pendedahan ini meliputi kepentingan mengenal pasti taktik penipuan, tidak mudah mempercayai pautan atau tawaran yang mencurigakan serta menjaga maklumat peribadi dan kewangan daripada disalahgunakan.
Pihak PDRM turut menyeru agar golongan belia menjadi ejen penyampai maklumat kepada keluarga masing-masing dengan berkongsi pengetahuan dan kesedaran mengenai bahaya scammer, khususnya kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang mungkin kurang terdedah kepada bentuk-bentuk penipuan dalam talian. Usaha ini diharap dapat membantu mewujudkan keluarga yang lebih peka, berhati-hati dan tidak mudah menjadi mangsa penipuan.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Azmi bin Othman, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Mersing. Turut hadir ialah pegawai-pegawai IKTBN Temerloh serta Pengerusi Kelab Belia Padu, Kampung Batu Kapur.
Semoga Program Belia Untuk Belia ini dapat menjadi platform dalam melahirkan generasi belia yang berilmu, bertanggungjawab dan prihatin, bukan sahaja dalam membendung masalah sosial dan penyalahgunaan dadah, malah turut berperanan sebagai duta kesedaran kepada keluarga dan masyarakat dalam mengekang jenayah penipuan dalam talian.
