BALIK PULAU, 16 Mei 2026 – Seramai 40 peserta daripada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra telah menyertai Kem Anak Muda Pemacu Harapan Aspirasi (ALPHA) 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Mei 2026 di White Resort Camp, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Program hasil kerjasama antara Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kubang Pasu dan IKBN Jitra ini bertujuan melahirkan golongan belia yang berkemahiran tinggi, berwawasan serta bebas daripada ancaman dadah.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti pembangunan diri dan kepimpinan antaranya sesi pengukuhan pasukan, motivasi dan kepimpinan belia, cabaran santai, kembara berjalan kaki, ceramah serta latihan dalam kumpulan (LDK) yang memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah, disiplin dan semangat kerjasama.
Program ini telah dirasmikan oleh Ketua AADK Daerah Kubang Pasu, Nurhafizah Md Desa, yang turut menyatakan kepentingan membina jati diri belia agar lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan serta menjauhi pengaruh negatif khususnya penyalahgunaan dadah.
Penganjuran Kem ALPHA 2026 ini diharap dapat melahirkan generasi muda yang lebih yakin, berdaya tahan dan mampu menjadi agen perubahan positif dalam komuniti serta negara.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.