Jitra, 15 Mac 2026 - Alhamdulillah, dengan penuh kesyukuran ke hadrat Allah SWT, Majlis Khatam Al-Quran Peringkat IKBN Jitra telah telah berjaya dilaksanakan dengan penuh keberkatan dan suasana yang sangat meriah bertempat di Surau Mawaddah, IKBN Jitra. Program ini telah menghimpunkan para pelajar IKBN Jitra serta peserta tadarus yang bersama-sama menyertai majlis khatam Al-Quran sebagai pengisian rohani di penghujung bulan Ramadan yang mulia.
Majlis ini telah dipimpin oleh Saudara Muhammad Mustafa Bin Ahmad, yang membimbing bacaan khatam Al-Quran serta doa khatam dengan penuh khusyuk dan penghayatan. Para peserta yang terdiri daripada pelajar semester satu serta para pelajar IKBN Jitra turut bersama-sama menyempurnakan bacaan Al-Quran sehingga khatam.
Program ini turut diserikan dengan perasmian oleh Puan Norhazita binti Kamaludin, Pengarah IKBN Jitra yang telah menyampaikan ucapan perasmian serta kata-kata nasihat mengenai kepentingan mendekati Al-Quran dalam kehidupan seharian terutama di kalangan anak muda sekarang khususnya dalam mendidik masyarakat agar terus mencintai dan mengamalkan ajaran Al-Quran. Turut hadir Puan Rauzoh binti Darus, TPHEP dan Encik Mohamad Razi bin Samsudin, TPPL serta ketua-ketua jabatan.
Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada para pembimbing tadarus iaitu Ustaz Muhammad Afifi bin Mahadhir dan Ustaz Ahmad Shauqi bin Ahmad Asri atas bimbingan dan komitmen yang diberikan sepanjang Ramadan ini dan juga Rakan Belia Yadim (RBY) IKBN Jitra yang mengelola program ini dengan lancar.
Semoga kita semua terus istiqamah bersama Al-Quran dan mendapat keberkatan daripadanya.