PROGRAM KafeTEEN@KBS PERINGKAT IKBN JITRA TAHUN 2026
Jitra, 15 September 2026 - Program KafeTEEN@KBS telah dilaksanakan di Dewan Ibnu Sina pada pada pagi ini dengan penyertaan seramai 50 orang peserta. Program ini merupakan salah satu inisiatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan golongan remaja melalui kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Program KafeTEEN@KBS menjadi platform pendidikan dan perkongsian maklumat bagi memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai aspek perkembangan diri, kesejahteraan remaja, hubungan sosial, kesihatan seksual dan reproduktif serta kemahiran membuat keputusan secara bijak dan bertanggungjawab.
Slot ceramah telah dikendalikan oleh En. Mohd Abdul Al Aliff bin Hj Jenal dan Puan Wan Nouriedah binti Megat Ghazali selaku fasilitator. Pelbagai pendekatan interaktif digunakan bagi menggalakkan penglibatan aktif peserta melalui sesi perkongsian, perbincangan dan aktiviti berkumpulan.
Melalui pelaksanaan program ini, para peserta berpeluang meningkatkan pengetahuan, keyakinan diri dan kemahiran insaniah dalam menghadapi cabaran alam remaja. Pendedahan yang diberikan turut membantu peserta memahami kepentingan menjaga diri, membina hubungan sosial yang sihat serta membuat keputusan yang berasaskan pengetahuan dan tanggungjawab.
Program KafeTEEN@KBS diharapkan dapat terus menjadi medium yang berkesan dalam memperkasa golongan remaja agar lebih berpengetahuan, yakin, bertanggungjawab dan mempunyai jati diri yang positif. Usaha berterusan dalam pembangunan remaja amat penting bagi membentuk generasi muda yang berkualiti serta mampu menyumbang secara positif kepada masyarakat dan negara.