Kemasik, Kemaman – Program Hari Terbuka Jabatan Perhotelan 2025 yang dianjurkan di Hotel Quince, IKBN Kemasik telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan berjaya menarik kehadiran lebih 300 pengunjung. Penganjuran program ini bukan sahaja membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali lebih dekat tentang bidang perhotelan, tetapi turut mempamerkan kepakaran, kreativiti dan kesungguhan para pelajar serta tenaga pengajar Jabatan Perhotelan dalam mengangkat mutu pendidikan TVET.
Program yang dilaksanakan bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang ini telah menerima kunjungan daripada pelajar dan guru dari tiga sekolah iaitu SMK Sultan Ismail, SMK Kijal dan SMK Geliga. Kehadiran mereka telah memberi peluang kepada para pelajar sekolah untuk melihat sendiri suasana pembelajaran sebenar dalam bidang perhotelan, seterusnya menambah minat terhadap kerjaya dalam industri ini. Selain itu, acara turut diserikan dengan kehadiran PUSPANITA Cawangan Kemaman, Pengusaha Homestay Kemaman, wakil daripada Kolej Vokasional Kemaman, ibu bapa, komuniti setempat dan warga IKBN Kemasik.
Pelbagai aktiviti menarik telah disusun bagi memberi pengalaman menyeluruh kepada para pengunjung. Antaranya termasuk lawatan ke bilik hotel, demonstrasi gubahan bunga dawai, demonstrasi lipatan tuala (towel folding) , persembahan buskers, cabutan bertuah dan aktiviti jualan yang dikendalikan oleh para pelajar. Program ini turut disempurnakan dengan gimik pelancaran oleh Pengarah IKBN Kemasik, Puan Norlia binti Abdullah, sebagai simbolik perasmian dan sokongan pihak pengurusan terhadap usaha memperkasakan bidang perhotelan.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pengunjung dan warga IKBN Kemasik yang telah menjayakan Hari Terbuka Jabatan Perhotelan 2025. Sokongan anda semua menjadi inspirasi untuk kami terus memperkasakan pendidikan TVET dan latihan dalam bidang perhotelan.
TVET Pilihan Utama Kerjaya.
ILKBS Profesional Terunggul.
