- Kok Kaw Keaw
- IKBN Kinarut
- Hits: 60
BAHAGIAN PEMBANGUNAN KBS PANTAU TIGA PROJEK PEMBANGUNAN DI IKBN KINARUT
KINARUT, 21 September 2026 – Bahagian Pembangunan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengadakan lawatan tapak ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut bagi memantau kemajuan pelaksanaan tiga projek pembangunan di institut berkenaan.
Lawatan tersebut diketuai oleh En. Shankaran A/L Ramasomdram, Ketua Penolong Setiausaha (KPSU), Bahagian Pembangunan KBS dan En. Mohd Aminuddin bin Md Arof, Jurutera Awam Kanan, Bahagian Pembangunan KBS.
Turut hadir Pn. Zuarini binti Jumai, Pengarah IKBN Kinarut, bersama pegawai-pegawai IKBN Kinarut serta wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), antaranya Ir. Muhammed Ibni bin Abdul Sabul, Jurutera Daerah JKR Papar, wakil Cawangan Cerun JKR Sabah dan Cawangan Senggaraan Bangunan JKR Sabah.
Tiga projek pembangunan yang dipantau melibatkan:
1. Pembaikan Mendapan Tanah dan Cerun;
2. Menaik Taraf Kemudahan IKBN Kinarut; dan
3. Perolehan Peralatan dan Naik Taraf Fasiliti bagi Kursus Baharu Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik Satu Fasa dan Tiga Fasa menggunakan pensijilan dual SKM dan KNX.
Lawatan tersebut turut disertai wakil syarikat yang dilantik, iaitu Razka Enterprise, Bunsadan Enterprise dan Haza Holdings Sdn. Bhd.
Sesi lawatan dan perbincangan memberi tumpuan kepada status kemajuan fizikal projek, pelaksanaan kerja serta prestasi pembayaran bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut skop, peruntukan dan ketetapan yang telah ditetapkan.
Dalam sesi perbincangan tersebut, Bahagian Pembangunan KBS turut menekankan kepentingan memastikan prestasi pembayaran projek dilaksanakan selaras dengan peruntukan yang telah ditetapkan. Selain itu, cadangan permohonan di bawah Rancangan Malaysia (RMK) baharu turut diketengahkan bagi menangani beberapa lokasi tanah mendap lain di kawasan IKBN Kinarut yang tidak termasuk dalam skop projek semasa.
Pemantauan secara berterusan ini mencerminkan komitmen KBS dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan di institusi TVET dilaksanakan secara terancang, berkesan dan berimpak, sekali gus memperkukuh kemudahan latihan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk pembangunan bakat dan kemahiran belia.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
