- Kok Kaw Keaw
- IKBN Kinarut
- Hits: 35
IKBN Kinarut Perkasa Kemahiran Belia Menerusi Program Keusahawanan Belia Bestari (B-BEST) Peringkat Negeri Sabah 2026
TAWAU, Julai 2026 – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan modal insan melalui penyertaan sebagai rakan strategik dalam Program Keusahawanan Belia Bestari (B-BEST) Peringkat Negeri Sabah 2026 anjuran Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah yang berlangsung di Kompleks Sukan Tawau.
Program yang menghimpunkan belia lepasan tahfiz dan belia luar bandar ini bertujuan meningkatkan potensi peserta melalui latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan serta persediaan ke arah kebolehpasaran dalam dunia pekerjaan.
Sebagai rakan pelaksana program, IKBN Kinarut telah menghantar dua orang tenaga pengajar berpengalaman, Encik Mohd Asrul bin Asri dan Encik Mohd Nasir bin Ahmad Chatib, bagi mengendalikan Latihan Asas Pendawaian Elektrik. Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada asas pendawaian elektrik, penggunaan peralatan, latihan amali serta aspek keselamatan di tempat kerja bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknikal mereka.
Majlis Penutupan dan Perasmian Program telah disempurnakan oleh YB Datuk Andy Muhammad Suryady bin Haji Bandy, Ahli Parlimen Kalabakan. Turut hadir ialah Encik Mohd Faiz bin Mohd Noor, Pegawai Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Tawau, yang menyampaikan ucapan alu-aluan serta merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan rakan strategik yang menjayakan program. Pada majlis tersebut turut diadakan penyampaian Sijil Penghargaan kepada tenaga pengajar dan pihak yang terlibat serta Sijil Penyertaan kepada para peserta sebagai pengiktirafan atas komitmen sepanjang program berlangsung.
Penyertaan IKBN Kinarut membuktikan komitmen berterusan institusi dalam menyokong agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta memperkukuh kerjasama strategik bersama Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah dalam melahirkan belia yang berkemahiran, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
