- C W Nor Fasnillah
- IKBN Pekan
- Hits: 23
Bengkel KIK IKBN Pekan 2026 Perkukuh Dokumentasi Dan Pembangunan Projek Inovasi
Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) ProVators IKBN Pekan telah mengadakan Bengkel KIK IKBN Pekan Tahun 2026 bagi memperkukuh pembangunan projek inovasi serta memperkemas dokumentasi projek sebagai persediaan menghadapi penilaian KIK mengikut kehendak dan garis panduan semasa.
Bengkel ini telah dikendalikan oleh dua orang fasilitator jemputan yang berpengalaman dalam bidang inovasi dan KIK, iaitu Ts. Dr. Thinakaran Narayanan dan Tc. Eddly Suzali Bin Ayub dari IKTBN Sepang. Sesi bimbingan yang diberikan memberi tumpuan kepada pembangunan projek secara sistematik, pengukuhan nilai inovasi, penyediaan laporan projek yang berkualiti serta teknik pembentangan yang berkesan.
Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan (TPPL), Ts. Muhammad Hamdan bin Abdullah Hazam, sebagai tanda sokongan terhadap usaha ahli-ahli KIK ProVators dalam membangunkan projek inovasi yang mampu meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan di IKBN Pekan.
Sepanjang bengkel berlangsung, ahli-ahli KIK ProVators telah dibimbing untuk menyemak semula dokumentasi projek sedia ada, memperhalusi kandungan laporan serta mengenal pasti ruang penambahbaikan agar menepati keperluan dan kriteria penilaian KIK terkini. Perbincangan turut memfokuskan kepada pengukuhan penyataan masalah, analisis punca, cadangan penyelesaian, pembuktian keberkesanan inovasi serta penyediaan eviden yang lengkap bagi menyokong projek yang dibangunkan.
Selain sesi perkongsian ilmu, bengkel ini turut menyediakan platform kepada ahli-ahli KIK ProVators untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas secara langsung daripada fasilitator. Pendekatan ini membolehkan setiap ahli memperhalusi projek masing-masing, di samping memastikan inovasi yang dihasilkan lebih tersusun, praktikal dan memenuhi standard penilaian yang ditetapkan.
Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat meningkatkan kompetensi ahli-ahli KIK ProVators dalam menghasilkan projek inovasi yang berkualiti, berimpak tinggi dan berdaya saing. Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen IKBN Pekan dalam memperkasakan budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan sebagai pemacu kecemerlangan organisasi.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
