Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana yang berlangsung di Dewan Serbaguna IKBN Pekan. Majlis ini menghimpunkan pegawai, kakitangan, pelajar serta ahli keluarga dalam suasana penuh keberkatan sempena bulan Ramadan.
Program dimulakan dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Badrul Faiz bin Zulkifli, Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Pahang, bertajuk “Ramadan Pengukuh Iman, Syawal Penyeri Ukhuwah”. Ceramah tersebut memberi pengisian rohani serta mengingatkan para hadirin tentang kepentingan memanfaatkan baki Ramadan dengan amalan yang berterusan di samping membuat persediaan rohani menjelang Syawal.
Majlis kemudian diteruskan dengan acara Khatam Al-Quran yang disertai oleh para pelajar dan warga institut sebagai simbolik penamat kepada penghayatan dan pembacaan Al-Quran sepanjang bulan Ramadan. Suasana majlis berlangsung dalam keadaan penuh khusyuk dan rasa syukur.
Sebaik sahaja masuk waktu berbuka, para hadirin bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana muhibah dan kekeluargaan yang erat antara pegawai, kakitangan, pelajar serta keluarga yang hadir. Majlis ini turut menjadi platform untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan warga IKBN Pekan.
Program diteruskan dengan solat Maghrib, diikuti solat Isyak serta solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja mengimarahkan bulan Ramadan, malah memperkukuhkan nilai kebersamaan, ukhuwah serta semangat kekeluargaan dalam kalangan warga IKBN Pekan.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
