IKBN Peretak, 21 Mei 2026 (Khamis) - Program Kuliah Maghrib bertajuk “Adab Berwuduk” telah berlangsung dengan penuh penghayatan di Surau Nur Salam IKBN Peretak. Kuliah tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Zulkifli Bin Makhtar kepada para pelajar dan warga institut yang hadir bagi menimba ilmu berkaitan kepentingan menjaga adab ketika berwuduk.
Dalam penyampaiannya, beliau menekankan bahawa wuduk bukan sekadar syarat sah solat, malah merupakan ibadah yang mempunyai adab dan kelebihan tersendiri di sisi Allah SWT. Antara perkara yang dikongsikan termasuklah membaca doa sebelum berwuduk, menjaga kebersihan anggota wuduk, tidak membazir air serta menjaga tertib ketika mengambil wuduk.
Beliau turut mengingatkan para hadirin agar sentiasa memperbaharui wuduk dan menjadikan amalan berwuduk sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kuliah yang berlangsung selepas solat Maghrib itu mendapat sambutan yang baik dan memberi manfaat kepada semua yang hadir.
Program seperti ini diharapkan dapat terus menyemarakkan budaya ilmu dan penghayatan Islam dalam kalangan warga IKBN Peretak serta melahirkan individu yang berakhlak mulia dan beramal dengan tuntutan agama dalam kehidupan seharian.
