- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 26
PAMERAN KERJAYA TVET BUKA MINDA PELAJAR SMK RAJA ABDULLAH
KUALA LUMPUR, 3 April 2026 – Satu pameran kerjaya berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah diadakan di Dewan Sri Murni, SMK Raja Abdullah, Kepong, hasil anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar melalui Cawangan Hubungan Industri. Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai peluang kerjaya dalam bidang kemahiran serta membantu mereka merancang hala tuju selepas tamat persekolahan.
Pameran ini melibatkan pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5 dengan pelbagai pengisian menarik termasuk perkongsian maklumat berkaitan laluan pendidikan dan prospek kerjaya. IKBN Peretak antara pempamer yang menampilkan hasil jahitan pelajar Jabatan Fesyen dan Pakaian bertemakan batik, selain menyediakan risalah berkaitan pengambilan pelajar bagi sesi Julai 2026.
Selain itu, pameran ini turut disertai oleh institusi dan agensi TVET seperti Kolej Vokasional, Kolej Komuniti, GiatMARA, Institut Kraf Negara, Institut Kemahiran Baitulmal serta beberapa kolej swasta. Penganjuran program ini diharapkan dapat membuka minda pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran, khususnya di Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
