- Mohd Zul Bin Badru
- IKBN Seri Iskandar
- Hits: 24
JELAJAH SUKAN MALAYSIA AKTIF SEMARAKKAN KOMUNITI ORANG ASLI DI KG. REDANG PUNGGOR
PASIR SALAK, 4 Oktober 2025 – Suasana di Kampung Redang Punggor, Pasir Salak hari ini meriah dengan penganjuran program Jelajah Sukan Malaysia Aktif Komuniti Orang Asli 2025. Program yang bertujuan memupuk gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Pelbagai pengisian menarik telah diadakan sepanjang hari, bermula dengan sesi senamrobik yang bertenaga, diikuti dengan acara larian santai atau ‘fun run’ yang disertai oleh segenap lapisan umur, daripada kanak-kanak hinggalah golongan dewasa. Selain itu, acara sukan tradisional turut dipertandingkan bagi memelihara dan mengetengahkan warisan budaya masyarakat Orang Asli.
Turut memeriahkan program adalah pameran daripada pelbagai agensi kerajaan yang bertujuan untuk menyalurkan maklumat dan perkhidmatan terus kepada komuniti. Tumpuan utama adalah reruai pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dikendalikan oleh Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar. Kehadiran IKBN Seri Iskandar adalah atas jemputan khas rakan penganjur, Malaysian Four Wheel Drive, bagi memberi pendedahan kepada golongan belia Orang Asli mengenai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pegawai Khas YAB Menteri Besar Negeri Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik, Tn. Hj. Mohamad Maharani bin Hj. Md. Tasi. Dalam ucapan perasmiannya, beliau memuji inisiatif penganjuran program seumpama ini yang bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup aktif, tetapi juga menjadi platform untuk agensi kerajaan mendekati masyarakat.
Jelajah Sukan Malaysia Aktif ini berjaya mencapai matlamatnya dalam menyemarakkan semangat kesukanan di samping membuka minda komuniti Orang Asli Kg. Redang Punggor terhadap pelbagai peluang yang tersedia untuk mereka.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
#TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #MalaysiaMADANI
#RancakkanMADANI #MADANIBekerja #ilkbs #ikbnseriiskandar
#ikbnsicemerlang #bhepikbnsip #tvetmalaysia #tvetperak
#masadepankemahiran #transformasipendidikan #talentperak
#jelajahsukanmalaysiaaktifkomunitiorangasli