- Mohd Zul Bin Badru
- IKBN Seri Iskandar
- Hits: 8
JELAJAH TVET ILKBS 2026 (ZON UTARA) MELABUHKAN TIRAI DENGAN PENUH KEJAYAAN
SERI ISKANDAR, 27 Jun 2026 – Program Jelajah TVET ILKBS 2026 (Zon Utara) melabuhkan tirainya dengan penuh kejayaan selepas berlangsung dengan meriah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar, Perak. Program yang berlangsung dari jam 7.00 pagi hingga 5.00 petang itu berjaya menghimpunkan masyarakat setempat, pelajar sekolah, lepasan sekolah, ibu bapa, pencari kerja, pihak industri serta pelbagai agensi kerajaan dalam usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan pendidikan dan kerjaya pilihan.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Mohd. Zaki bin Abdul Rahman, Pegawai Daerah Perak Tengah. Turut hadir ialah YBrs. Encik Mohd. Sukri bin Ismail, Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan; YBrs. Puan Sarah Syazwani binti Saari, Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak (DUN Bota); serta YDH Superintenden Hafezul Helmi bin Hamzah, Ketua Polis Daerah Perak Tengah.
Program ini merupakan platform yang menghimpunkan lima (5) institusi di bawah Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Zon Utara, iaitu IKBN Seri Iskandar, IKBN Naka, IKBN Jitra, IKBN Kuala Perlis dan IKTBN Bukit Mertajam, bagi memperkenalkan peluang pendidikan, latihan kemahiran dan prospek kerjaya kepada masyarakat. Penganjuran ini turut mengukuhkan jaringan kerjasama strategik antara institusi latihan kemahiran, agensi kerajaan, pihak industri dan komuniti dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan negara.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik dan interaktif telah diadakan bagi memberi pendedahan secara langsung kepada pengunjung mengenai dunia TVET. Antara pengisian utama ialah Temu Duga Terbuka MyFutureJobs, Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) ILKBS, pameran TVET, institusi pengajian tinggi (IPT) dan agensi kerajaan, pemeriksaan pergigian, Perpustakaan Bergerak, pameran jentera bomba, perkongsian Success Story Alumni ILKBS, Bicara Kerjaya (Career Talk), TVET Sport Challenge, pertandingan inovasi, pertandingan mewarna kanak-kanak, servis motosikal percuma, Jualan Rahmah MADANI, bazar dan gerai jualan serta cabutan bertuah.
Sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mengambil peluang mendapatkan maklumat mengenai kursus kemahiran, prospek kerjaya, peluang melanjutkan pengajian dalam bidang TVET serta peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak industri.
Jelajah TVET ILKBS 2026 (Zon Utara) bukan sahaja berjaya mempromosikan TVET kepada masyarakat, malah menjadi platform yang menghubungkan institusi latihan kemahiran, bakal pelajar, majikan dan agensi berkaitan. Program ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa TVET sebagai pemacu pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua kementerian, agensi kerajaan, rakan strategik, pihak industri, penaja, sukarelawan, petugasserta seluruh warga kerja yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program ini. Penghargaan turut dizahirkan kepada semua pengunjung yang hadir dan bersama-sama memeriahkan Jelajah TVET ILKBS 2026 (Zon Utara).Semoga kejayaan penganjuran Jelajah TVET ILKBS 2026 (Zon Utara) menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasakan pendidikan dan latihan kemahiran negara, seterusnya melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir, kompeten dan berdaya saing demi kemajuanMalaysia.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
#JelajahTVET
#IKBNSeriIskandar
#TeamKBS
#TVETMalaysia
#MalaysiaMADANI
#pejabatdaerahdantanahperaktengah
See less
