- Muhamad Akram bin Mazalan
- IKBN Tanah Merah
- Hits: 17
SESI PENYERAHAN MOTOSIKAL AEON CO. (M) BHD. KEPADA PELAJAR ILKBS KATEGORI B40 SIRI 1
Tanah Merah, 7 Mei 2026 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama AEON Co. (M) Bhd. terus komited dalam memperkasa kebajikan dan mobiliti pelajar Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) menerusi pelaksanaan Projek Sumbangan Motosikal AEON Co. (M) Bhd. kepada pelajar kategori B40 bagi Siri 1 tahun 2026. Program ini merupakan salah satu inisiatif strategik dalam membantu pelajar B40 meningkatkan tahap mobiliti dengan memiliki kemudahan pengangkutan yang lebih mudah dan selesa bagi urusan pembelajaran, latihan industri serta pergerakan harian disamping mengurangkan beban kos pengangkutan serta memberi motivasi kepada mereka untuk terus cemerlang dalam bidang kemahiran dan latihan teknikal.
Antara pelajar ILKBS yang terpilih menerima sumbangan motosikal di bawah projek ini ialah Saudari Farhanah binti Muzalan dan Saudari Nurul Aniesa binti Zaifulzaman dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tanah Merah. Saudari Farhanah telah menerima sumbangan motosikal tersebut di IKBN Tanah Merah, manakala Saudari Nurul Aniesa pula memilih untuk mengambil motosikal sumbangan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok.
Selain itu, IKBN Tanah Merah turut membantu melaksanakan urusan penyerahan motosikal kepada dua lagi pelajar ILKBS iaitu Saudara Muhammad Aiman Fahmi bin Shamsuddin dari IKTBN Bukit Mertajam dan Saudari Nur Aina binti Mohd Yusoff dari IKBN Bandar Penawar. Kerjasama ini mencerminkan semangat kebersamaan dan sokongan antara institusi ILKBS dalam memastikan program penyampaian bantuan kepada pelajar dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Kesemua pelajar ini merupakan antara penerima yang memenuhi syarat kelayakan dan dikenal pasti memerlukan bantuan pengangkutan bagi menyokong urusan pembelajaran serta latihan industri mereka.
IKBN Tanah Merah melalui Kementerian Belia dan Sukan merakamkan penghargaan kepada AEON Co. (M) Bhd. atas komitmen berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat melalui bantuan seumpama ini yang memberi impak besar kepada pembangunan pendidikan dan kebajikan belia negara.
