- Nur Sarina binti Khairruddin
- IKTBN Alor Gajah
- Hits: 3
Dua Belia Berkeperluan Khas Berjaya Tamat Latihan Kemahiran Pastri Dan Barista Di IKTBN Alor Gajah
ALOR GAJAH, 9 Sept – Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan bagi Siri 4, Latihan Kemahiran Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Anjung Utama, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah hari ini. Program latihan jangka panjang yang bermula sejak 30 Mac lalu bertujuan memberikan pendedahan serta penguasaan kemahiran asas kepada golongan belia berkeperluan khas, khususnya dalam sektor penyediaan makanan dan minuman (F&B).
Majlis penyampaian sijil tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan, Puan Surinah Binti Siron, yang hadir mewakili Pengarah IKTBN Alor Gajah. Turut menyaksikan detik bersejarah itu ialah barisan tenaga pengajar, Puan Anne Musliana Mustapa dan Puan Syairatul Ashikin Othman, serta ibu bapa para pelajar. Sesi latihan kali ini memberi tumpuan khusus kepada kemahiran Asas Penyediaan Pastri dan Barista yang dikendalikan sepenuhnya di fasiliti premis Kopi Loteng IKTBN Alor Gajah. Dua peserta yang diraikan atas kejayaan menamatkan latihan tersebut ialah Saudara Nik Amer Zaqwan Bin Nazri dan Saudara Nur Haziq Danish Bin Norizan.
Pihak pengurusan IKTBN Alor Gajah menzahirkan ucapan tahniah dan syabas atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh kedua-dua peserta sepanjang mengikuti program tersebut.
Melalui inisiatif inklusif seumpama ini, program berkenaan diharapkan dapat menjadi batu loncatan dalam meningkatkan keyakinan diri serta membekalkan kemahiran praktikal yang bernilai buat golongan berkeperluan khas bagi menembusi dunia pekerjaan pada masa hadapan. Langkah ini sekali gus memperkukuh peranan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dan agenda TVET sebagai pilihan utama kerjaya masyarakat tanpa mengira latar belakang.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
