- Nur Sarina binti Khairruddin
- IKTBN Alor Gajah
- Hits: 2
Tiga Pegawai IKTBN Alor Gajah Ditauliahkan Sebagai Kapten Bersekutu Pertahanan Awam
AYER KEROH, 9 Sept – Komitmen warga pendidik teknikal dalam menyumbang khidmat bakti kepada keselamatan negara mendapat pengiktirafan tertinggi apabila tiga pegawai Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah secara rasmi ditauliahkan sebagai Kapten Bersekutu (PA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Watikah pelantikan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM, YAS TKPj. Bersekutu (PA) Dato' Ismail bin Mohd Zawawi, sempena Majlis Himpunan Setia APM Negeri Melaka Bilangan 2 Tahun 2026 yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh, di sini hari ini.
Tiga pegawai kanan IKTBN Alor Gajah yang menerima pengiktirafan tersebut ialah:
- Kapt. Bersekutu (PA) Saiful Maarof bin Masrom (Timbalan Pengarah Pengurusan dan Hal Ehwal Pelajar)
- Kapt. Bersekutu (PA) Hairul Anuar bin Zakariah (Ketua Jabatan Hospitaliti)
- Kapt. Bersekutu (PA) Ts. Mohd Amiruddin bin Tajudin (Ketua Jabatan Elektrik)
Bagaimanapun, Kapt. Bersekutu (PA) Ts. Mohd Amiruddin bin Tajudin tidak dapat hadir ke majlis berkenaan kerana tuntutan tugas hakiki yang tidak dapat dielakkan. Pentauliahan berprestij ini merupakan simbolik pengiktirafan terhadap kesediaan dan kepakaran kepimpinan IKTBN Alor Gajah dalam mendukung agenda kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan serta bencana negara.
Untuk rekod, IKTBN Alor Gajah merupakan antara 22 Institusi Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) yang sangat prolifik dalam aktiviti pertahanan awam. Ia dibuktikan melalui penubuhan entiti aktif di dalam kampus iaitu Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA) IKTBN Alor Gajah serta Pasukan Civil Defence Auxiliary Emergency Response Team (CDA-ERT).
Syabas dan tahniah diucapkan kepada ketiga-tiga pegawai di atas pelantikan ini. Penglibatan strategik antara institusi TVET dan agensi keselamatan seumpama ini bukan sahaja memperkukuh rantaian komuniti, malah diharap menjadi pemangkin semangat buat seluruh warga kerja dan pelajar untuk terus menyumbang kepada masyarakat, bangsa, dan negara dengan penuh integriti.
