- Nur Sarina binti Khairruddin
- IKTBN Alor Gajah
- Hits: 21
IKTBN ALOR GAJAH PERTARUHKAN DUA WAKIL KE PERTANDINGAN AKHIR WSMB 2026
MELAKA, 17 Jun – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah terus mengukuhkan reputasinya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila menghantar dua peserta terbaik ke peringkat akhir WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2026.
Pertandingan berprestij tersebut dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula 18 hingga 23 Jun di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Pulau Pinang.
Dua wakil yang menggalas cabaran institusi tersebut ialah Puteri Nur Aleeya Sapari Abdul Rahim bagi bidang Restaurant Service (Perkhidmatan Restoran) serta Nur Khairiyah Binti Arrazi bagi bidang Bakery (Pastri). Kedua-dua peserta telah mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang sesi latihan intensif dan berjaya melepasi beberapa saringan kompetitif di peringkat awal sebelum melayakkan diri ke pentas akhir.
Bagi memastikan kelancaran sepanjang pertandingan, delegasi turut diiringi oleh barisan jurulatih dan pegawai teknikal IKTBN Alor Gajah yang berperanan memberikan sokongan teknikal, suntikan motivasi, serta pemantauan rapi. Penyertaan impak tinggi ini mencerminkan komitmen berterusan institusi dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu berdaya saing di peringkat nasional.
Seluruh warga IKTBN Alor Gajah menzahirkan keyakinan penuh bahawa kedua-dua peserta mampu memberikan saingan sengit sekali gus mengharumkan nama institusi. Semangat “Skill to Win, Spirit to Inspire” terus menjadi azimat utama pasukan dalam usaha membuktikan kecemerlangan agenda TVET negara.
