- Nur Sarina binti Khairruddin
- IKTBN Alor Gajah
- Hits: 14
PENGARAH IKTBN ALOR GAJAH ZIARAH DUA PELAJAR KEMALANGAN DI HOSPITAL MELAKA
MELAKA, 18 Jun – Pengarah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Puan Hajjah Nor Azah binti Ahmad Dahalan, telah meluangkan masa menziarahi dua orang pelajar institusi berkenaan yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Melaka akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Lawatan kebajikan tersebut bertujuan untuk menzahirkan rasa prihatin pihak pengurusan tertinggi institusi, di samping memberikan sokongan moral yang padu kepada kedua-dua pelajar terbabit serta ahli keluarga mereka dalam mendepani fasa sukar ini.Turut menyertai kunjungan tersebut ialah Ketua Cawangan Hubungan Industri & Perhubungan Awam, Puan Mariyati binti Asri, barisan pengajar dari Jabatan Elektrik, serta pegawai daripada Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) IKTBN Alor Gajah.
Pihak pengurusan institusi mendoakan agar kedua-dua pelajar berkenaan diberikan kesembuhan dengan segera supaya dapat kembali meneruskan sesi pengajian seperti biasa. Dalam pada itu, IKTBN Alor Gajah memberi jaminan akan memantau perkembangan status kesihatan mereka secara berkala serta menyalurkan bantuan kebajikan yang sewajarnya sepanjang tempoh rawatan berlangsung.
IKTBN Alor Gajah kekal komited dalam memastikan aspek kebajikan setiap pelajar sentiasa diberi keutamaan tinggi. Pihak institusi juga sedia menyusun pelan sokongan akademik yang bersesuaian mengikut keperluan semasa bagi memastikan kelangsungan pengajian kedua-dua pelajar terbabit tidak terjejas kelak.
