- Nur Sarina binti Khairruddin
- IKTBN Alor Gajah
- Hits: 14
IKTBN ALOR GAJAH TEROKA PELUANG KERJASAMA BERSAMA McDONALD’S VOCATIONAL ACADEMY
DAMANSARA, 22 Jun – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah menganjurkan lawatan akademik ke McDonald’s Vocational Academy, Damansara bagi memberi pendedahan industri secara langsung kepada 19 orang pelajar Jurusan Penyediaan Makanan dan Minuman (DHB34).
Program luar bilik darjah yang turut disertai oleh enam orang pegawai pengiring itu merupakan sebahagian daripada pengisian wajib Modul Perancangan dan Pelaksanaan Program di bawah Subjek Kepimpinan 3 ILKBS. Modul ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar merancang, mengurus, serta melaksanakan program luar secara praktikal. Turut menyertai delegasi berkenaan ialah Ketua Cawangan Hubungan Industri serta Ketua Bahagian Penyajian Jabatan Hospitaliti IKTBN Alor Gajah.
Sepanjang lawatan berlangsung, para pelajar mengikuti sesi Career Talk dan perkongsian kepakaran eksklusif yang disampaikan oleh wakil McDonald’s Vocational Academy, Puan Norhayati dan Encik Fikri. Pengisian program termasuklah pendedahan meluas mengenai sistem pengurusan operasi sebenar serta budaya kerja profesional di outlet McDonald’s.
Selain aktiviti akademik, sesi perbincangan dua hala turut diadakan bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam aspek pembangunan kemahiran serta kebolehpasaran graduan. Pihak McDonald’s turut menawarkan peluang keemasan kepada graduan IKTBN Alor Gajah untuk mengikuti program lepasan diploma serta pengisian jawatan Management Trainee.
Inisiatif proaktif ini mencerminkan komitmen berterusan IKTBN Alor Gajah dalam memastikan pelajarnya dilengkapi dengan kemahiran insaniah dan teknikal yang relevan dengan kehendak industri semasa.
